Iran sifatkan serangan Israel ke atas Syria ancaman terbesar terhadap keamanan serantau

Jurucakap Kementerian Luar, Esmail Baghaei, menyifatkan Israel sebagai ancaman terbesar kepada keamanan antarabangsa susulan siri serangan udara ke atas Syria.-Agensi
Jurucakap Kementerian Luar, Esmail Baghaei, menyifatkan Israel sebagai ancaman terbesar kepada keamanan antarabangsa susulan siri serangan udara ke atas Syria.-Agensi
A
A
A

TEHERAN – Iran mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaru Israel ke atas Syria dan menyifatkannya sebagai satu ancaman luar biasa terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa, susulan peningkatan kempen ketenteraan rejim Zionis di rantau itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, dalam satu kenyataan pada Khamis menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya segera bertindak mengekang tindakan agresif Israel yang semakin berleluasa.

“Hari ini jelas kepada semua bahawa rejim Zionis merupakan ancaman terbesar kepada keamanan dan kestabilan serantau,” katanya sambil menuduh Israel menyasarkan infrastruktur awam Syria dan memperluas pendudukan secara paksa.

Baghaei mendakwa tindakan Israel itu diperkukuh oleh sokongan ketenteraan dan politik daripada negara-negara Barat, termasuk Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom dan Perancis, sekali gus menjadikannya satu ancaman yang belum pernah berlaku terhadap keselamatan sejagat.

Beliau juga menegaskan bahawa kegagalan masyarakat antarabangsa menghentikan perang berterusan Israel ke atas Gaza telah menyemarakkan lagi kempen ketenteraan Tel Aviv yang lebih meluas.

“Kami mendesak OIC dan PBB untuk mengambil langkah segera dan berkesan bagi menghentikan provokasi berbahaya serta cita-cita peluasan wilayah Israel yang semakin melampau,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Strategik Hubungan Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, turut memberi amaran keras terhadap tindakan Israel yang dianggap semakin tidak terkawal.

“Malangnya, semua ini boleh dijangka. Ibu kota mana pula akan menjadi sasaran selepas ini?” katanya secara sinis.

Beliau menegaskan bahawa rejim Israel “tidak mengenal batas dan hanya memahami satu bahasa,” sambil menyeru dunia, termasuk negara-negara di rantau ini, supaya bersatu bagi menghentikan pencerobohan ganas Israel.

Artikel Berkaitan:

“Iran menyokong sepenuhnya kedaulatan dan keutuhan wilayah Syria serta akan terus berdiri teguh bersama rakyat Syria,” tambahnya.

Kenyataan ini dikeluarkan sehari selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Syria, Damsyik, termasuk kawasan berhampiran istana presiden dan bangunan kerajaan, yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang dan mencetuskan ketegangan baharu di rantau Asia Barat.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!