Syria tarik balik tentera dari Suwayda selepas serangan dahsyat Israel

DAMSYIK – Syria mengumumkan penarikan semula tenteranya dari bandar Suwayda di selatan negara itu, selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas ibu negara Damsyik dalam satu tindakan yang didakwa sebagai sokongan terhadap masyarakat minoriti Druze.
Menurut pihak berkuasa Syria, serangan udara yang berlaku pada Rabu mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang.
Serangan itu telah mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat yang berusaha mengekang konflik daripada meletus menjadi perang terbuka antara kedua-dua negara jiran itu.
Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, dalam ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen awal pagi Khamis berkata, Syria kini berada di persimpangan, sama ada memilih untuk berperang habis-habisan dengan Israel yang mungkin mengorbankan masyarakat Druze atau memberi laluan kepada penyelesaian damai melalui rundingan dengan para pemimpin agama kaum itu.
"Kami tidak gentar dengan peperangan. Sejarah kami penuh dengan perjuangan mempertahankan rakyat. Tetapi kami memilih jalan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat Syria berbanding kehancuran," katanya.
Serangan udara Israel pada Rabu menyasarkan beberapa bangunan utama kerajaan di Damsyik, termasuk Kementerian Pertahanan.
Sebuah saluran televisyen tempatan turut menyiarkan secara langsung detik bangunan itu terkena serangan, sehingga memaksa penyampai berita berlindung ketika bersiaran.
Kementerian Pertahanan Israel berkongsi rakaman serangan tersebut dengan hantaran: “Pukulan menyakitkan telah bermula,” manakala seorang pegawai tentera mengesahkan serangan turut mengenai kawasan berhampiran istana presiden.
Israel mempertahankan tindakannya dengan mendakwa ia bertujuan melindungi masyarakat Druze, yang kini menjadi sasaran pertempuran antara kumpulan pro-kerajaan dan militan.
Namun, sumber diplomatik menyatakan serangan itu juga berpunca daripada keengganan Israel menerima pentadbiran baru Syria yang disifatkan oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebagai “rejim ekstremis” yang mengancam keselamatan negara Yahudi itu.
Agensi berita rasmi Syria, SANA, melaporkan bahawa tentera Syria telah mula berundur dari bandar Suwayda, sejajar dengan perjanjian gencatan senjata baharu yang dicapai antara kerajaan dan kepimpinan agama masyarakat Druze.
Rakaman yang disiarkan menunjukkan konvoi tentera meninggalkan bandar tersebut.
“Pengunduran ini dilakukan selepas tentera menyelesaikan misi membanteras kumpulan yang melanggar undang-undang,” menurut kenyataan rasmi.
Bagaimanapun, belum jelas sama ada perjanjian gencatan senjata itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya, memandangkan wujud perpecahan dalaman dalam kalangan kumpulan Druze.
Menurut laporan Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria (SNHR), sekurang-kurangnya 169 maut dan lebih 200 cedera dalam pertempuran beberapa hari lalu yang melibatkan tembakan artileri, pembunuhan tanpa perbicaraan, serta serangan udara oleh tentera Israel.
CNN bagaimanapun tidak dapat mengesahkan angka korban tersebut secara bebas dan sedang menunggu maklum balas rasmi daripada kerajaan Syria.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, pentadbiran Presiden Donald Trump sedang berunding dengan semua pihak yang terlibat bagi menamatkan ketegangan.
“Kami telah bersetuju dengan langkah-langkah khusus bagi mengakhiri situasi yang mengerikan ini. Semua pihak mesti mematuhi komitmen mereka,” kata Rubio menerusi platform X, sambil berkongsi video dirinya bersama Presiden Trump di Rumah Putih.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan di Suwayda dan mengecam serangan udara Israel ke atas Damsyik, Suwayda dan Daraa.
Beliau menyeru semua pihak supaya menghormati kedaulatan Syria dan menghentikan sebarang keganasan terhadap orang awam.
Negara-negara seperti Turkiye, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar turut mengutuk serangan Israel. Iran yang baru sahaja menamatkan konflik berdarah dengan Israel bulan lalu – menyifatkan tindakan Israel sebagai “pencerobohan tidak waras”. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

