Presiden Iran seru negara Islam bersatu hentikan kerakusan Israel

Masoud Pezeshkian.-Agensi
Masoud Pezeshkian.-Agensi
A
A
A

TEHERAN – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menggesa negara-negara Islam supaya bersatu menentang rejim Zionis yang didakwanya terus menabur perpecahan dan melakukan kezaliman ke atas masyarakat Islam di seluruh dunia.

Beliau menyuarakan seruan itu ketika menerima kunjungan Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi di Teheran pada malam Isnin.

“Kerjasama antara negara Islam bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

"Jika kerajaan dan umat Islam benar-benar memahami kepentingan perpaduan Ummah, mereka boleh bersatu secara berkesan melawan rejim Zionis yang hidup dengan mencetuskan perpecahan,” kata Pezeshkian.

Tambah beliau, pemimpin Islam perlu lebih peka terhadap strategi jahat rejim Israel dan bertindak dengan menyemai semangat perpaduan serta kerjasama sesama negara Islam.

“Rejim Zionis sentiasa berusaha memecah-belahkan barisan umat Islam.

"Kita perlu bertindak balas secara kolektif terhadap agenda jahat ini,” tegasnya lagi.

Dalam pertemuan itu, Pezeshkian turut menyatakan rasa puas hati terhadap hubungan dua hala Iran-Pakistan yang semakin kukuh, malah menekankan keperluan dialog berterusan untuk memperluas kerjasama pelbagai bidang.

Beliau juga menghargai sokongan kukuh yang diberikan Pakistan kepada Iran semasa perang 12 hari yang dikatakan sebagai pencerobohan oleh rejim Zionis ke atas Republik Islam itu.

Artikel Berkaitan:

“Iran bersedia sepenuhnya untuk memperluas hubungan dan memanfaatkan peluang yang ada bagi mengukuhkan lagi kerjasama dua hala,” katanya.

Terdahulu, pada 13 Jun, Israel melancarkan serangan besar ke atas Iran yang mengorbankan ramai komander tentera kanan, saintis nuklear serta orang awam.

Amerika Syarikat pula bertindak melancarkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear Iran –langkah yang dianggap mencabuli Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pencegahan Proliferasi Senjata Nuklear (NPT).

Sebagai tindak balas, pasukan bersenjata Iran melancarkan serangan balas ke atas sasaran strategik di wilayah Palestin yang diduduki serta pangkalan udara al-Udeid di Qatar – markas terbesar tentera AS di Asia Barat.

Pada 24 Jun, Iran mengumumkan kejayaan menamatkan serangan haram itu melalui operasi ketenteraan balas yang disifatkan sebagai ‘berjaya dan strategik’. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!