Econsave, MyCARE bina Sekolah Malaysia di Afghanistan
Sekolah Malaysia keempat dibina selepas Gaza, Syria dan Yaman

KABUL - Sebuah sekolah akan dibina oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dengan kerjasama pengendali rangkaian pasar raya besar utama, Econsave Cash & Carry, dengan kos RM500,000 di tapak sebuah kem pelarian dalam negara (IDP) di daerah Pulicharkhi, kira-kira 30 kilometer ke timur bandar raya ini.
Pembinaan sekolah atau madrasah tersebut menjadikan ia pusat pengajian keempat khusus untuk anak-anak pelarian yang dibina oleh Econsave-MyCARE menerusi sumbangan rakyat Malaysia di negara berkonflik, selepas Sekolah Malaysia di Gaza, Syria dan Yaman setakat ini.
Penasihat MyCARE Johor, Dr Mohd Zin Kandar berkata, sekolah berkenaan yang bakal menyediakan kemudahan pembelajaran dan pengajaran kepada lebih 200 murid lelaki dan perempuan, akan dibina di tapak Masjid Hazrat Osman Ghany di Pulicharkhi, sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan bangunan dua tingkat itu akan bermula pada bila-bila masa sahaja dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan atau awal tahun depan.
“Kita bersyukur kerana berjaya membina sebuah lagi sekolah atau madrasah, dan kejayaan ini adalah hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia,” katanya pada majlis peletakan batu asas pembinaan Sekolah Malaysia MyCARE-Econsave di perkarangan Masjid Hazrat Osman Ghany di Pulicharkhi, Kabul pada Sabtu.
Turut hadir, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam; Mufti daerah Pulicharkhi, Sheikh Naim Al Hassan; aktivis MyCARE; dan wakil media Malaysia. Majlis disusuli dengan penyerahan 500 pek makanan kepada murid dan jemaah masjid.
Kem IDP Pulicharkhi merupakan antara kem pelarian terbesar di Afghanistan, menempatkan kira-kira 14,000 keluarga mangsa perang yang melarikan diri dari daerah-daerah berhampiran selepas kediaman mereka musnah dalam serangan tentera penceroboh Rusia dan Amerika Syarikat serta sekutunya dalam konflik yang berlarutan di Afghanistan sejak lebih 20 tahun lalu.
Sementara itu, Mas Imran berkata, sumbangan rakyat Malaysia itu dikutip melalui tabung-tabung derma yang diletakkan di lebih 100 pasar raya besar Econsave di seluruh negara sejak empat tahun lalu.
“Sebagai rakan strategik MyCARE, pihak Econsave sentiasa berusaha mengutip seberapa banyak sumbangan daripada rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada saudara-saudara kita di negara-negara yang sedang dilanda konflik,” katanya.
Beliau berkata, Econsave dan MyCARE menyasarkan untuk mengutip sumbangan sebanyak RM4 juta daripada rakyat Malaysia bagi pembinaan Sekolah Malaysia di negara-negara yang dilanda konflik dan peperangan.
Setakat ini, kira-kira RM3 juta daripada jumlah kutipan itu telah digunakan untuk pembinaan Sekolah Malaysia di Gaza, Syria, Yaman dan Afghanistan.
“Kita yakin hanya melalui pendidikan yang sempurna sahaja kita dapat mengubah nasib dan masa depan sesuatu bangsa. Oleh itu, sektor pendidikan sentiasa dijadikan agenda utama dalam misi-misi kemanusiaan yang dijalankan Econsave bersama MyCARE,” katanya.
Mas Imran turut merayu rakyat Malaysia agar terus menghulurkan sumbangan melalui tabung derma yang disediakan di semua pasar raya Econsave demi membantu saudara seagama kita di negara yang sedang dilanda konflik dan peperangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
