Misi kemanusiaan 10 hari ke Afghanistan

Mohd Zin dan Mas Imran menyantuni anak-anak yatim di sekolah dan asrama anak-anak yatim Ehsas Yetim Foundation, Kabul.
Mohd Zin dan Mas Imran menyantuni anak-anak yatim di sekolah dan asrama anak-anak yatim Ehsas Yetim Foundation, Kabul.
A
A
A

KABUL - Kira-kira tiga juta kanak-kanak dan remaja daripada keseluruhan 43.85 juta penduduk Afghanistan kini menjadi anak yatim atau yatim piatu berikutan konflik bersenjata dan pencerobohan kuasa besar terutama Amerika Syarikat dan sekutunya yang berlarutan selama beberapa dekad di negara ini.

Sebahagian daripada kanak-kanak dan remaja berkenaan yang rata-rata berusia di bawah 15 tahun, kini hidup semata-mata atas belas ihsan penderma termasuk penyumbang dari Malaysia selepas bapa mereka terkorban dalam peperangan menentang tentera penceroboh.

Mereka kini ditempatkan di sekolah dan asrama anak-anak yatim yang dikelolakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan terutama Human Assistance Society (HAS) yang bergantung sepenuhnya terhadap bantuan daripada penderma dan rakan strategik mereka di luar negara termasuk Malaysia.

Penasihat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Johor, Dr Mohd Zin Kandar berkata, anak-anak yatim piatu yang ditempatkan di asrama HAS terpaksa berpindah-randah ke wilayah lain mengikut perubahan musim terutama apabila tiba musim dingin, memandangkan Afghanistan mempunyai cuaca empat musim.

“Anak-anak yatim terbabit sangat mengharapkan bantuan daripada penyumbang untuk meneruskan hidup memandangkan sebahagian daripada mereka tiada lagi tempat bergantung,” katanya selepas mengunjungi dan menyampaikan bantuan buku dan alat tulis di asrama anak yatim Ehsas Yetim Foundation di sini pada Khamis.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada Misi Kemanusiaan MyCARE-Econsave Afghanistan 2025 yang sedang berlangsung di beberapa wilayah di Afghanistan sehingga 24 Julai ini.

Misi kemanusiaan selama 10 hari yang bertujuan menyampaikan bantuan berjumlah kira-kira RM1 juta turut disertai Pengurus Besar Econsave Cash & Carry, Mas Imran Adam dan wakil media.

MyCARE menyasarkan mengutip sumbangan kira-kira RM4 juta daripada rakyat Malaysia untuk membantu memulihkan sektor pendidikan, keluarga miskin, anak yatim dan melaksanakan program pemerkasaan ekonomi rakyat di Syria, Yemen dan Afghanistan.

Bantuan itu dikutip menerusi tabung yang disediakan di semua premis pasar raya Econsave di seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mas Imran berkata, kanak-kanak malang itu sewajarnya dibantu dalam apa juga bentuk bantuan kerana mereka adalah bakal pelapis pemimpin negara pada masa akan datang.

“Saya berharap rakyat Malaysia akan terus menghulurkan sumbangan bagi memulihkan kehidupan rakyat Afghanistan terutama anak-anak yatim dan keluarga miskin.

“Kita juga akan membina sebuah sekolah untuk anak-anak Afghanistan di Kabul pada tahun ini kerana kita berpandangan bahawa hanya melalui pendidikan sahaja akan dapat mengubah nasib keluarga dan rakyat negara ini pada masa akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!