Majoriti jangka kerajaan salur bantuan tunai kepada rakyat

SHAH ALAM - Majoriti pengguna media sosial menjangkakan kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai berbanding barang keperluan kepada rakyat sebagai langkah menangani kos sara hidup yang semakin membebankan.
Undian atau 'poll' dalam tempoh 24 jam yang berakhir jam 3.18 petang pada Ahad di empat platform media sosial Sinar Harian membabitkan Facebook, Instagram dan Youtube dan X mendapati lebih 79 peratus pengguna meramalkan pemberian bantuan tunai.
Menerusi Facebook, sebanyak 88 peratus daripada 1,834 pengundi percaya bantuan tunai akan diberikan dan hanya 11 peratus yakin bahawa kerajaan akan memberikan barang keperluan.
Di Instagram, sebanyak 83 peratus daripada 989 pengundi menjangkakan bantuan tunai manakala baki 17 peratus meramalkan bantuan barang keperluan.

Undian di Youtube mendapati sebanyak 81 peratus daripada 365 pengundi yakin bantuan tunai akan diberikan kerajaan dan 19 peratus optimis pemberian barang keperluan manakala di X pula, sejumlah 79.3 peratus daripada 599 pengundi percaya kerajaan akan menyediakan bantuan tunai dan hanya 20.7 peratus meramalkan bantuan barang keperluan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu memberi bayangan bahawa penghargaan luar biasa yang akan diumumkan kepada rakyat adalah berhubung langkah kerajaan menangani kos sara hidup bagi meringankan beban rakyat.
Beliau dilaporkan berkata, pengumuman perkara itu mungkin dibuat pada Isnin atau Selasa bagi membolehkan Kementerian Kewangan menyediakan 'kejutan' itu secara lebih terperinci.
Kata Anwar, beliau sedang mencari ikhtiar kerana kenaikan kos sara hidup bukan berlaku dalam negara sahaja, tetapi seluruh dunia.
Untuk rekod, pemberian bantuan tunai kepada rakyat bermula di zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012 menerusi penyaluran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Pemberian bantuan tunai itu diteruskan hingga sekarang namun nama bantuan yang disalur berubah mengikut pentadbiran setiap Perdana Menteri selain nilai bantuan maksimum juga semakin bertambah.
Ia dinamakan sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Bantuan Keluarga Malaysia atau BKM (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Sumbangan Tunai Rahmah atau STR (Anwar).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

