Sebuah madrasah di Kuala Terengganu dikuarantin 14 hari

Kakitangan kesihatan bersiap sedia membuat pembersihan di sebuah madrasah di Kuala Terengganu.
Kakitangan kesihatan bersiap sedia membuat pembersihan di sebuah madrasah di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah madrasah di daerah ini dikuarantin selama 14 hari bermula semalam bagi mengekang penyebaran wabak koronavirus (Covid-19).

Penutupan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehadiran ahli tabligh yang disyaki positif Covid-19 pada pemeriksaan peringkat awal yang dikatakan singgah di madrasah berkenaan.

Lelaki itu difahamkan pernah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu dan sudah dihantar ke wad isolasi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Susulan itu, kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu (PKDKT) menghubungi polis kira-kira jam 9 pagi kelmarin bagi mendapatkan bantuan.

Tinjauan Sinar Harian tengah hari tadi mendapati, polis telah membuka pusat kawalan tempat kejadian bagi membuat kawalan terhadap lebih 300 penghuni madrasah terbabit termasuk pelajar, tenaga pengajar dan staf sokongan daripada keluar.

Notis kuarantin yang ditampal di pagar madrasah terbabit.
Notis kuarantin yang ditampal di pagar madrasah terbabit.

Polis juga menghalang kemasukan orang luar dari memasuki premis berkenaan.

Kelihatan juga kakitangan pejabat kesihatan daerah melakukan kerja-kerja pembersihan dan membuat pemeriksaan kesihatan terhadap semua warga madrasah itu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya menubuhkan pusat kawalan tempat kejadian sejak kelmarin dan menempatkan dua pegawai dan 10 anggota di madrasah berkenaan.

"Polis akan membuat kawalan 24 jam sepanjang tempoh kuarantin itu," katanya di sini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penutupan madrasah berkenaan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.