'Saya terjun tanpa fikir apa-apa' - Lelaki kongsi detik selamatkan dua budak lemas

Kawasan sekitar lokasi kejadian dua kanak-kanak ditemukan lemas di tapak projek mitigasi banjir berhampiran Jalan Cili Merah, Seksyen 24, Shah Alam.
Kawasan sekitar lokasi kejadian dua kanak-kanak ditemukan lemas di tapak projek mitigasi banjir berhampiran Jalan Cili Merah, Seksyen 24, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM – “Saya tak fikir apa-apa ketika itu, niat saya cuma nak selamatkan kedua-dua mangsa.”

Demikian kata Muhammad Al-Amin Ambiah, 39, yang nekad terjun ke dalam takungan air di tapak projek mitigasi banjir berhampiran Jalan Cili Merah, Seksyen 24 di sini bagi menyelamatkan dua kanak-kanak lelaki yang lemas dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia baru tiba di rumah ibu saudaranya yang terletak tidak jauh dari lokasi tersebut sebelum didatangi beberapa kanak-kanak yang menjerit meminta tolong.

“Ada budak datang ke pagar depan sambil menjerit, kata ada orang lemas. Melihat mereka cemas, saya terus ikut ke lokasi kejadian tanpa berfikir panjang,” katanya ketika ditemui di Seksyen 24 pada Sabtu.

Katanya, dia bersama sepupunya ke lokasi tersebut dan pada mulanya menyangka hanya seorang mangsa terlibat.

“Bila sampai, baru tahu ada dua mangsa. Orang ramai sudah mula berkumpul, ada yang cari batang kayu dan tali. Saya pula nak terus terjun, tapi sepupu tahan dan minta tunggu sekejap untuk cari alat bantuan,” katanya.

Namun, melihat keadaan semakin mendesak, dia memberanikan diri menyelam ke dalam takungan air tersebut.

“Saya sangka air itu cetek, rupa-rupanya dalam. Kaki saya langsung tak jejak dasar.

“Mangsa pertama saya temui dalam masa kira-kira tiga minit. Pencarian mangsa kedua ambil masa lebih kurang 10 minit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua mangsa kemudian diangkat ke darat dengan bantuan penduduk sebelum diberikan rawatan pernafasan (CPR).

“Mangsa 12 tahun lebih kecil saiz badannya, yang sembilan tahun pula lebih besar. Dua-dua mereka masih budak lagi, memang rasa kesian sangat,” ujarnya.

Menurutnya, suasana bertambah pilu apabila kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Khairil, 14, berkata, dia terdengar jeritan meminta tolong semasa berada di gelanggang sepak takraw berhampiran lokasi.

“Pada awalnya kami sangka mereka bergurau, tapi bila sampai, nampak kawasan itu berselut. Saya terus berlari ke taman perumahan untuk minta bantuan,” katanya.

Beberapa penduduk tiba tidak lama kemudian dengan membawa peralatan seperti batang paip besi panjang bagi membantu pencarian.

Katanya, mangsa pertama, Che Syazwan Irwan Shah, 12, ditemui kira-kira jam 7 malam.

“Kami dimaklumkan mangsa cuba menyelamatkan rakannya yang turut mandi di kawasan itu.

“Saya dan beberapa rakan kemudian melaungkan azan untuk mempermudahkan pencarian, dan tidak lama selepas itu, mangsa kedua, Aish Dayyan Raiqal Arijanto, 9, ditemui,” katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua mangsa dipercayai mandi di kawasan takungan air projek mitigasi banjir sebelum kejadian berlaku.

Siasatan awal mendapati kedua-dua kanak-kanak itu dilihat bermain dan mandi sebelum dipercayai lemas.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!