Premis 'call centre' pinjaman tidak wujud terbongkar, lapan individu ditahan

Penahanan lapan suspek berkenaan dilakukan secara berperingkat. Gambar hiasan
Penahanan lapan suspek berkenaan dilakukan secara berperingkat. Gambar hiasan
A
A
A

MUAR – Sebuah premis yang berperanan sebagai pusat panggilan menawarkan pinjaman peribadi tidak wujud terbongkar dalam serbuan yang turut menahan lapan individu di Taman Sungai Abong di sini pada Jumaat.

Serbuan kira-kira jam 4.40 pagi itu dijalankan sepasukan polis selepas risikan dilakukan terhadap kegiatan sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, serbuan berkenaan dipercayai berjaya menumpaskan sindiket yang aktif sejak Jun tahun lalu.

"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan skrip penipuan dengan menyamar sebagai wakil institusi kewangan serta syarikat pinjaman bagi memperdaya mangsa.

"Sindiket ini menyasarkan mangsa melalui panggilan telefon dan juga media sosial dengan menawarkan pinjaman yang sebenarnya tidak wujud," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil serbuan turut membawa kepada rampasan pelbagai peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti penipuan.

"Antara barangan dirampas ialah 20 telefon pintar, komputer riba, modem internet, buku bank dan buku catatan skrip penipuan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10,000,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penahanan lapan suspek berkenaan dilakukan secara berperingkat.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan adalah antara 20 individu yang berjaya diberkas setakat ini kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah komersial di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Semua suspek direman selama empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Tambah beliau, sejak 4 Februari hingga Khamis lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar turut menjalankan tangkapan susulan terhadap 12 individu di beberapa negeri.

Katanya, tangkapan itu dilakukan bagi membantu siasatan kes penipuan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama.

Ringkasan AI

  • Premis pusat panggilan menawarkan pinjaman peribadi tidak wujud terbongkar di Muar
  • Serbuan pada jam 4.40 pagi turut menahan lapan individu
  • Sindiket aktif sejak Jun tahun lalu menggunakan skrip penipuan menyamar sebagai institusi kewangan
  • Rampasan termasuk 20 telefon pintar, komputer riba, dan buku skrip penipuan
  • Kesemua suspek ditahan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!