'Aishdayan Rayqal selalu tegur orang tua, salam jemaah masjid' - Ibu saudara mangsa lemas

SHAH ALAM – “Arwah anak yang baik, periang dan sangat menghormati orang tua. Kali terakhir jumpa Ahad lalu, tak sangka itu pertemuan terakhir.”
Demikian luahan pilu Zuraini Mohamad Nizan, 40, ibu saudara kepada Aishdayan Rayqal Arijanto, 9, salah seorang daripada dua kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit berhampiran Jalan Cili Merah 24/26, Seksyen 24 di sini, petang Jumaat.
Menurut Zuraini, Allahyarham merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan sangat disenangi jiran serta rakan-rakan.
“Perwatakan arwah sangat matang. Arwah juga ringan tulang dan mudah bergaul, walaupun dengan orang dewasa.
“Arwah memang peramah dan mesra, selalu senyum. Kalau nampak orang tua di kawasan perumahan atau jemaah masjid, dia akan tegur dan salam,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa pada Sabtu.
Tambahnya, Allahyarham dikatakan semakin rajin ke masjid dalam dua minggu sebelum kejadian dan sering bersalaman dengan jemaah selepas solat.
“Kakak (ibu mangsa) ada cerita, arwah sering minta izin ke masjid dan akan bersalaman dengan semua jemaah selepas solat.
“Dia juga minta ibunya betulkan butang baju sekolah beberapa kali akhir-akhir ini, walaupun itu bukan kebiasaannya,” ujarnya.
Zuraini berkata, perubahan sikap Allahyarham yang dilihat semakin manja dan rajin membantu ibunya turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan keluarga sebelum tragedi menyayat hati itu berlaku.
“Dalam tempoh itu juga, arwah ada sebut yang dia tengah kumpul duit sebab nak beli basikal. Itu antara impiannya yang tak kesampaian,” katanya sebak.
Zuraini yang kali terakhir bertemu dengan Allahyarham ketika mereka sekeluarga pulang ke kampung di Kuala Kangsar, Perak, pada Ahad lalu, tidak menyangka ia adalah pertemuan terakhir mereka.
“Saya dapat tahu tentang kejadian sekitar jam 7 petang dan terus ke lokasi. Memang terkejut dan sedih sebab baru sangat jumpa, tapi kami sekeluarga reda,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa mangsa serta seorang lagi rakannya maut dipercayai akibat lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah parit berhampiran Jalan Cili Merah 24/26, Seksyen 24, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

