Tapir liar dikesan di Kuala Pilah dan Jelebu

SEREMBAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan mengambil langkah pemantauan di Melang, Kuala Pilah dan Kampung Pianggu, Jelebu susulan kehadiran tapir yang dikesan menerusi video tular pada Jumaat.
Pengarahnya, Faizal Izham Pikri berkata, hasil siasatan mendapati haiwan itu bukan datang dari kawasan hutan, sebaliknya dipercayai berkeliaran di kawasan belukar dan kebun milik penduduk.
“Di Melang, lokasi kejadian berhampiran kawasan perniagaan seperti kedai makan dan gerai buah. Kawasan itu jauh dari hutan simpan, namun terdapat belukar dan kebun yang dipercayai menjadi laluan merayau tapir berkenaan.
“Di Jelebu pula, penduduk kampung sudah biasa dengan kehadiran tapir. Tiada kerosakan serius dilaporkan kecuali pada beberapa pokok nangka,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, tular dua gambar dan video berasingan merakam kelibat tapir liar yang dikongsikan oleh pengguna media sosial.
Faizal berkata, tiada hutan simpan berhampiran kedua-dua lokasi kejadian, namun kewujudan kawasan belukar memberi ruang kepada tapir untuk bergerak.
Katanya, pemantauan secara berkala terus dijalankan oleh Perhilitan Jempol bagi memastikan keselamatan penduduk dan hidupan liar.
“Setakat ini, Perhilitan Jempol telah menerima enam aduan berhubung kehadiran tapir yang berkeliaran dan merosakkan tanaman di kawasan kampung.
“Tiga ekor tapir telah dipindahkan selepas masuk ke dalam perangkap di lokasi berbeza, iaitu Kampung Muka Sauk Petaseh, Kampung Pasir Ambor dan Kampung Peradong di Jelebu,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati jika ternampak tapir melintas jalan, terutama pada waktu malam atau awal pagi.
Orang awam juga digesa segera melaporkan sebarang kehadiran hidupan liar kepada pejabat Perhilitan berdekatan untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


