20dB Hearing buka cawangan baharu di Kuala Pilah

MK Ibrahim (tiga, kiri) dan Kin Loon (dua, kanan) selepas majlis perasmian pembukaan cawangan 20dB Hearing Kuala Pilah pada Sabtu.
MK Ibrahim (tiga, kiri) dan Kin Loon (dua, kanan) selepas majlis perasmian pembukaan cawangan 20dB Hearing Kuala Pilah pada Sabtu.
A
A
A

KUALA PILAH - Syarikat 20dB Hearing, yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan pendengaran dan alat bantu pendengaran, telah membuka cawangan ke-34 di Kuala Pilah.

Pembukaan pusat kesihatan ini memberikan kemudahan kepada 71,300 penduduk di daerah tersebut untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan serba lengkap, termasuk penjagaan pendengaran.

Kebanyakan pengunjung yang hadir pada perasmian pembukaan pada Sabtu meluahkan kelegaan dengan pengoperasian pusat itu di Kuala Pilah.

Seorang pesara guru, Mansor Mahmud, 80, berkata, sebelum ini beliau terpaksa ke Seremban untuk mendapatkan pemeriksaan pendengaran kerana tiada kemudahan tersebut di Kuala Pilah.

Muhamad Kamarul Asyraf (kiri) menjalankan pemeriksaan alat bantu pendengaran kepada Mansor (kanan) di 20bB Hearing cawangan Kuala Pilah.
Muhamad Kamarul Asyraf (kiri) menjalankan pemeriksaan alat bantu pendengaran kepada Mansor (kanan) di 20bB Hearing cawangan Kuala Pilah.

"Saya sudah menggunakan alat bantu pendengaran sejak dua tahun lalu. Dengan faktor usia yang semakin meningkat, ia menyukarkan saya untuk memandu jauh.

"Alhamdulillah, dengan adanya cawangan 20dB Hearing di Kuala Pilah, saya yang tinggal di Tanjong Ipoh tidak perlu lagi ke Seremban untuk pemeriksaan sekiranya alat bantu pendengaran menghadapi masalah," katanya pada Sabtu.

Perasmian cawangan tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, dan turut dihadiri Pengarah Urusan 20dB Hearing, Wong Kin Loon.

Sementara itu, Pegawai Pemulihan Pendengaran 20dB, Muhamad Kamarul Asyraf Bakri berkata, pemilihan Kuala Pilah merupakan langkah strategik bagi memperluaskan kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan pendengaran kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Melihat kepada sambutan hari ini, ia menunjukkan tanda positif apabila ramai yang hadir untuk menjalani pemeriksaan dan ujian pendengaran.

"Perkhidmatan ini mendapat permintaan daripada penduduk setempat dan sekitarnya. Dengan kemudahan yang lebih dekat, ia dapat meningkatkan kesedaran berkaitan penjagaan kesihatan pendengaran," katanya.

Menurutnya, pelanggan yang hadir akan menjalani tiga pemeriksaan utama, iaitu ujian otoskop (salur dan gegendang telinga), tympanometry (fungsi gegendang telinga), dan pure tone audiometry (tahap pendengaran).

"Sempena pembukaan cawangan ini, kami menawarkan pemeriksaan pendengaran percuma selama sebulan. Mereka yang didapati menghadapi masalah akan disyorkan alat bantu pendengaran yang bersesuaian.

"Selain itu, pelanggan di semua cawangan 20dB di seluruh negara juga ditawarkan percubaan penggunaan alat bantu pendengaran selama 20 hari," tambahnya.

Muhamad Kamarul Asyraf turut memaklumkan bahawa kebanyakan golongan yang mengalami masalah pendengaran adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas, namun remaja dan dewasa yang berdepan masalah sama juga sangat disarankan menjalani pemeriksaan.

Beliau juga menasihatkan masyarakat untuk merujuk kepada pakar audiologi bertauliah dan tidak membeli alat bantu pendengaran secara dalam talian yang tidak diiktiraf, kerana alat tersebut berpotensi merosakkan pendengaran.

Sementara itu, MK Ibrahim menyambut baik pembukaan cawangan baharu 20dB Hearing di kawasan luar bandar. Beliau berharap kesedaran tentang kesihatan pendengaran dapat diperluaskan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Kuala Pilah merupakan daerah yang menunjukkan perkembangan pesat dalam pelbagai sektor, termasuk kesihatan.

"Kepadatan penduduk yang kian meningkat menuntut penyediaan kemudahan kesihatan lebih optimum agar manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat, terutamanya golongan warga emas," katanya.

Tambahnya, Pusat Rehabilitasi Pendengaran 20dB Hearing memainkan peranan penting dalam membantu penduduk Kuala Pilah dan kawasan sekitar yang mengalami masalah pendengaran, agar dapat menerima rawatan dan khidmat bantuan. Ini secara tidak langsung meningkatkan kualiti hidup mereka dan memberikan impak positif kepada masyarakat keseluruhan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!