Rumah pam solar bawa sinar baharu kepada 3,000 penduduk Pulau Teluk Renjuna

Faudin (tengah) dan Azuhan mencuba air dari paip selepas ditapis di rumah pam.
Faudin (tengah) dan Azuhan mencuba air dari paip selepas ditapis di rumah pam.
A
A
A

TUMPAT – Rumah pam air bersih berteknologi solar dan berasaskan Internet Benda (IoT) yang pertama dibina di Pulau Teluk Renjuna di sini membawa perubahan besar kepada lebih 3,000 penduduk yang sekian lama bergantung kepada air sungai serta tadahan hujan akibat tekanan paip terlalu rendah.

Bagi penduduk, Faudin Yunus, 69, yang bekerja sebagai pemandu bot penambang, rumah pam itu hadir selepas penantian terlalu lama.

Katanya, kawasan itu hanya boleh diakses melalui bot dan sudah puluhan tahun berdepan isu air, malah ramai penduduk terpaksa menggunakan bot ke tanah besar semata-mata untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Air kerajaan memang ada, tapi tekanannya sangat rendah. Musim raya pernah sebulan air tak keluar langsung.

“Kami guna sungai untuk mandi, cuci baju, itu pun melekit badan. Kalau nak air bersih, kena ke tanah besar bawa tong,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Pam Air di Masjid Al-Ahmadiah di Pulau Teluk Renjuna di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Imam Tua Masjid Al-Ahmadiah, Mohd Amin Zulkahar Sha’ri.

Penyerahan kunci rumah pam air diserahkan oleh Azuhan (lima dari kanan) kepada Mohd Amin (empat dari kanan).
Penyerahan kunci rumah pam air diserahkan oleh Azuhan (lima dari kanan) kepada Mohd Amin (empat dari kanan).

Rumah pam canggih itu dibina badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Infaq Infra Malaysia di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat oleh syarikat pemasangan solar, Rimbun Prima Global melibatkan kos sekitar RM60,000.

Menggunakan sistem solar tiga kilowatt dan bateri lithium lima kilowatt jam, rumah pam itu turut dilengkapi sistem penapisan telaga bawah tanah dan berfungsi sepenuhnya tanpa bekalan elektrik.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Zakaria Rafeei, 54, berkata, sistem itu satu nikmat besar buat penduduk pulau dan mengalu-alukan lebih ramai pihak yang bermurah hati untuk berbuat demikian bagi meringankan bebanan mereka.

“Saya angkut 10 hingga 20 tong air dari tanah besar melalui jeti Kok Majid setiap hari.

“Apabila hantar anak sekolah, saya angkut air sekali. Setiap satu tong itu muat empat liter air yang digunakan untuk masak dan minum,” katanya.

Penduduk turut menadah air hujan di rumah untuk digunakan membasuh pakaian, walaupun airnya bercampur habuk atau lumut dari bumbung.

“Nak tengok penduduk ada baju warna putih di sini memang susah sebab sungai pun keroh, kalau nak lebih bersih kena bawa baju naik bot ke kedai dobi di tanah besar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Infaq Infra Malaysia, Azuhan Fauzi berkata, sistem rumah pam itu menggunakan teknologi pemantauan jarak jauh berasaskan IoT yang membolehkan operasi dikawal walaupun tiada operator tetap di lokasi.

Air bersih dipegang oleh Azuhan (kanan) dan Faudin manakala Mohd Amin memegang botol mengandungi air belum ditapis.
Air bersih dipegang oleh Azuhan (kanan) dan Faudin manakala Mohd Amin memegang botol mengandungi air belum ditapis.

“Sistem sepenuhnya guna tenaga solar manakala pam, kamera litar tertutup dan sistem keselamatan dipantau dari jauh.

“Air disedut daripada telaga boring berhampiran masjid dan ditapis menggunakan penapis khas yang diuji makmal,” katanya.

Beliau berkata, projek itu mengambil masa dua tahun melibatkan penempatan tiga penapis air dan sebuah tangki berkapasiti 250 gelen, mencukupi untuk kegunaan 100 hingga 200 penduduk pada satu-satu masa atau lebih.

Menurutnya, antara komponen istimewa sistem itu ialah penuaian air hujan berkapasiti 500 liter melalui bumbung, dengan aliran ke sistem penapisan sebelum disalurkan ke tangki utama.

“Ramai penduduk pulau ini simpan air hujan melalui bumbung rumah, tapi tak bertapis.

“Sekarang kami nak penduduk tahu kaedah betul, hujan ditapis sebelum masuk sistem simpanan, itu lebih selamat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!