Van sekolah terbalik: Penutup lubang dicuri, bukan kerja penyelenggaraan

JOHOR BAHRU – Penutup lubang pembetungan (manhole) yang terbuka sehingga menyebabkan kemalangan sebuah van sekolah di Jalan Abdul Samad dipercayai telah dicuri dan bukan disebabkan oleh kerja penyelenggaraan oleh mana-mana pihak.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, semakan mendapati penutup manhole tersebut adalah milik Telekom Malaysia (TM), namun tiada kerja dilakukan oleh syarikat berkenaan atau kontraktornya di lokasi kejadian sejak kebelakangan ini.
“TM mengesahkan tiada kerja penyelenggaraan dijalankan di kawasan itu dalam tempoh terdekat. Keadaan penutup manhole yang terbuka dipercayai mempunyai unsur cubaan mencuri kabel,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat atau rakaman video berkaitan kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan.
“Jika ada mana-mana pihak yang menyaksikan perbuatan membuka atau mencuri penutup manhole di lokasi kemalangan, saya merayu agar tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Terdahulu, kerajaan negeri mengarahkan siasatan rapi dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang menyebabkan sebuah van sekolah terbalik kira-kira jam 7 pagi Jumaat.
Siasatan itu penting bagi menentukan sama ada kejadian berlaku akibat perbuatan mencuri atau disebabkan kecuaian kontraktor.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, van sekolah terbabit membawa seramai 17 individu terdiri daripada seorang pemandu, sembilan pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan berusia antara 9 hingga 15 tahun.
Dalam kejadian jam 7.01 pagi itu, van sekolah jenis Nissan Urvan dipercayai terbabas sendiri selepas melanggar sebuah lubang pembetungan di tepi kiri jalan, menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan berkenaan terbalik.
Seramai 16 pelajar sekolah dilaporkan cedera termasuk mengalami patah tangan dan jari.
Namun begitu, hanya 11 pelajar yang mengalami kecederaan kini masih menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Sultanah Aminah, manakala selebihnya tidak mengalami kecederaan serius.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

