Murid cedera van sekolah terbalik langgar lubang

Keadaan van sekolah yang terbalik selepas melanggar sebuah lubang jalan yang tidak ditutup di Jalan Abdul Samad pagi tadi. Foto FB Community Roda Johor
Keadaan van sekolah yang terbalik selepas melanggar sebuah lubang jalan yang tidak ditutup di Jalan Abdul Samad pagi tadi. Foto FB Community Roda Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seramai 17 individu termasuk 16 pelajar cedera apabila terlibat dalam kemalangan sebuah van sekolah di Jalan Abdul Samad, di sini pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku pada jam 7.01 pagi dan van berkenaan dalam perjalanan mengambil dan menghantar pelajar ke beberapa sekolah di sekitar Johor Bahru.

"Ketika melalui lokasi kejadian, van terbabit telah melanggar sebuah lubang pembentungan di tepi kiri jalan.

"Perlanggaran itu mengakibatkan pemandu hilang kawalan hingga van berkenaan terbalik," katanya.

Selain seorang pemandu, van sekolah tersebut turut dinaiki 9 pelajar lelaki dan 7 pelajar perempuan berusia 9 hingga 15 tahun dan 11 daripadanya mengalami kecederaan luka-luka dan dirawat di zon kuning, Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Lima lagi pelajar dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), atas kesalahan memandu dengan cuai hingga menyebabkan kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!