MAINPP lancar Logo Rakan Muzakki

SEBERANG JAYA - Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melancarkan Logo Rakan Muzakki sebagai pengiktirafan kepada syarikat korporat dan individu yang komited menunaikan zakat di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, tiga kategori logo diperkenalkan iaitu Gangsa bagi sumbangan RM1,000 sehingga RM4,999 Perak untuk bayaran antara RM5,000 hingga RM49,999 dan Emas bagi sumbangan melebihi RM50,000.
Menurutnya, pengenalan logo itu bukan sahaja mengiktiraf pembayar zakat sebaliknya memperkukuh kerjasama antara Zakat MAINPP dengan syarikat-syarikat yang menyumbang sekali gus memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan berzakat.
"Melalui pengiktirafan ini, pembayar zakat boleh mempamerkan logo berkenaan di premis perniagaan mereka seperti mana logo halal yang menjadi simbol kepercayaan masyarakat terhadap produk yang dihasilkan.
"Pengenalan Logo Rakan Muzakki Zakat MAINPP menambah keyakinan kepada masyarakat untuk terus menyokong perniagaan yang membayar zakat dengan Zakat MAINPP.
"Ini mewujudkan ekosistem yang sihat dalam perniagaan kerana apabila masyarakat tahu sesebuah syarikat itu membayar zakat, mereka akan lebih yakin untuk membeli produk yang ditawarkan.
"Pendapatan syarikat meningkat dan keuntungan bertambah, sekali gus mendorong pembayaran zakat yang lebih tinggi selain menjadi inspirasi kepada syarikat serta usahawan lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Logo Rakan Muzakki dan Apresiasi Zakat Perniagaan Tahun 2025 di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Muhammad Kairi Ghazali dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Pada majlis tersebut, 30 syarikat menerima pengiktirafan dengan jumlah kutipan zakat perniagaan bernilai RM1.9 juta.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, semua pembayar zakat turut mendapat manfaat tambahan khusus menerusi sistem wakala yang diperkenalkan MAINPP, iaitu syarikat layak menerima pulangan lebih tinggi sekiranya bayaran zakat melebihi RM50,000.
"Bukan itu sahaja, mereka juga mendapat kelebihan dari sudut rebat cukai korporat sebanyak 2.5 peratus. Ia bermakna zakat yang dibayar adalah tax deductible, sekali gus tidak meningkatkan kos perniagaan mereka.
"Dengan adanya wakala, MAINPP juga akan bekerjasama dengan syarikat terbabit dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), terutamanya dalam program agihan zakat kepada fakir miskin dan golongan memerlukan," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sehingga kini, jumlah pembayar zakat di Pulau Pinang mencecah lebih 72,000 orang dan berharap ia akan terus meningkat sekali gus melonjak jumlah kutipan.
"Kerajaan negeri melalui Zakat MAINPP sentiasa komited dalam melaksanakan reformasi institusi Islam secara menyeluruh melalui pelaksanaan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030).
"Salah satu teras penting APAI ialah memperkasakan pengurusan zakat secara sistematik, profesional dan berimpak tinggi.
"Dalam konteks ini, zakat bukan hanya kutipan dan agihan. Ia adalah pelaburan masa depan iaitu dalam pendidikan, pembangunan kemahiran, keusahawanan dan peluang pekerjaan kepada asnaf.
"Kita bukan sahaja membantu mereka keluar dari kancah kemiskinan, malah menjadikan mereka penyumbang kembali kepada ekonomi ummah,” katanya.
Kieda, Pak Teh Fruits mahu jadi pembayar zakat tertinggi di Pulau Pinang
Sementara itu, dua usahawan muda di negeri ini memasang impian untuk menjadi pembayar zakat tertinggi di negeri ini agar dapat membantu lebih ramai golongan asnaf di negeri ini sekali gus menjadi inspirasi kepada peniaga lain untuk menunaikan kewajipan berzakat.
Pemilik perniagaan Kieda Crepe, Siti Nur Khalieda Yusra berkata, beliau bersyukur atas kurniaan rezeki yang diberikan ALLAH kerana dapat berkongsi dengan orang sekeliling dengan berkat.
Menurutnya, meskipun di usia muda, beliau berharap dapat diberi kekuatan dan kekal istiqamah untuk terus menunaikan zakat.
"Alhamdulillah, niat Kieda berniaga memang nak mencari rezeki dan membantu orang sekeliling kerana Kieda sendiri bermula dari kesusahan.
"ALLAH buka jalan untuk Kieda capai kekayaan tetapi bukan untuk diri sendiri semata-mata, sebaliknya supaya dapat berkongsi dengan asnaf dan fakir miskin," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Khamis.
Kieda antara 10 usahawan yang menerima pengiktirafan Logo Emas Rakan Muzakki Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sebelum ini.
Beliau berdoa agar perniagaannya terus maju dan dimurahkan rezeki agar dapat terus membayar zakat dengan jumlah yang tinggi setiap tahun kepada Zakat MAINPP
Sementara itu, Pemilik Perniagaan Pak Teh Fruits, Taufiq Tajuddin turut bersyukur kerana menerima pengiktirafan berkenaan dan menganggap ia sebagai motivasi untuk menunaikan kewajipan berzakat.

Taufiq yang mengambil alih perniagaan Pak Teh Fruits sepenuhnya daripada keluarga pada 2018 berkata, dia memulakan pembayaran zakat sekitar RM10,000 pada tahun 2019 dan mengakui angka itu suatu ketika dahulu sudah dianggap besar baginya.
Namun kini beliau lebih yakin dan berazam untuk meningkatkan jumlah pembayaran.
"Saya berharap langkah Zakat MAINPP ini menjadi pemangkin kesedaran kepada peniaga dan usahawan lain mengenai kepentingan menunaikan zakat.
"Ia juga menjadi motivasi kepada diri saya untuk terus menjadikan zakat sebagai agenda nombor satu dalam perniagaan setiap tahun,” katanya.
Menurut beliau, antara visi utama setiap tahun ialah menetapkan zakat sebagai matlamat utama dalam perniagaannya.
“Orang selalu tanya apa matlamat saya setiap tahun? Matlamat saya ialah untuk memastikan jumlah zakat yang dibayar meningkat dari tahun ke tahun.
"Alhamdulillah, tahun lalu Pak Teh Fruits memba
yar zakat sebanyak RM100,000 dan saya berdoa tahun 2025 nanti jumlah itu dapat digandakan.
"Walaupun kami hanya berniaga dan beroperasi di kampung serta hanya ada satu kedai tanpa cawangan lain, saya tetap menyasarkan untuk menjadi pembayar zakat tertinggi di Pulau Pinang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

