Kieda, Pak Teh Fruits mahu jadi pembayar zakat tertinggi di Pulau Pinang

SEBERANG JAYA – Dua usahawan muda di negeri ini memasang impian untuk menjadi pembayar zakat tertinggi bagi membantu lebih ramai golongan asnaf sekali gus menjadi inspirasi kepada peniaga lain dalam menunaikan kewajipan berzakat.
Pemilik perniagaan Kieda Crepe, Siti Nur Khalieda Yusra, bersyukur atas kurniaan rezeki daripada ALLAH SWT kerana dapat berkongsi dengan orang sekeliling melalui keberkatan perniagaan.
Beliau yang mesra disapa Kieda berkata, meskipun masih muda dan berdepan cabaran dalam dunia perniagaan hari ini berharap agar diberikan kekuatan dan kekal istiqamah untuk terus menunaikan zakat.
“Syukur Alhamdulillah. Niat Kieda berniaga memang untuk mencari rezeki dan bantu orang sekeliling kerana Kieda sendiri bermula dari kesusahan.
“ALLAH buka jalan untuk Kieda capai kekayaan, tetapi bukan untuk diri sendiri semata-mata, sebaliknya supaya dapat berkongsi dengan asnaf dan fakir miskin,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Kieda merupakan salah seorang daripada 10 usahawan yang menerima pengiktirafan Logo Emas Rakan Muzakki daripada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, dalam majlis Pelancaran Logo Rakan Muzakki dan Apresiasi Zakat Perniagaan Tahun 2025, di sini.

Dalam pada itu, Kieda turut memohon doa agar perniagaannya terus maju dan dimurahkan rezeki agar dapat terus menunaikan zakat dengan jumlah yang lebih tinggi setiap tahun kepada Zakat MAINPP.
Sementara itu, pemilik perniagaan Pak Teh Fruits, Taufiq Tajuddin, turut menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima dan menyifatkannya sebagai motivasi untuk terus menunaikan kewajipan berzakat.
Taufiq yang mengambil alih perniagaan Pak Teh Fruits daripada keluarganya pada tahun 2018, berkata, beliau memulakan pembayaran zakat sekitar RM10,000 pada tahun 2019 dan mengakui bahawa jumlah tersebut dahulu dianggap besar baginya.
Namun kini, beliau lebih yakin dan berazam untuk meningkatkan jumlah pembayaran zakat setiap tahun.
“Saya sangat bersyukur dan berharap langkah Zakat MAINPP ini menjadi pemangkin kesedaran kepada peniaga serta usahawan lain tentang kepentingan menunaikan zakat.
“Ia juga menjadi motivasi kepada saya untuk terus menjadikan zakat sebagai agenda nombor satu dalam perniagaan setiap tahun,” katanya.
Menurut beliau, antara visi utama tahunannya ialah menetapkan zakat sebagai matlamat utama dalam perniagaan.
“Orang selalu tanya apa matlamat saya setiap tahun? Matlamat saya ialah untuk memastikan jumlah zakat yang dibayar meningkat dari tahun ke tahun.
“Alhamdulillah, tahun lalu Pak Teh Fruits membayar zakat sebanyak RM100,000 dan saya berdoa agar tahun 2025 jumlah itu dapat digandakan.
“Walaupun kami hanya berniaga dan beroperasi di kampung serta hanya memiliki satu kedai tanpa cawangan lain, saya tetap menyasarkan untuk menjadi pembayar zakat tertinggi di Pulau Pinang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

