Tempias fenomena ikan kembung murah!

Seorang pengusaha restoran, Khairul Adnan Hamid,32, menunjukkan ikan kembung yang dibawanya bersama rakan-rakan dari Kuala Muda, Kedah untuk dijual semurah RM10 bagi tiga kilogram di Bandar Meru Raya dan beberapa lokasi di sekitar Ipoh kelmarin. - Foto Bernama

A
A
A

IPOH - Fenomena lambakan ikan di negeri-negeri utara khususnya Kedah sehingga menyebabkan hasil laut itu dijual pada harga 50 sen sekilogram turut memberi tempias kepada warga Perak khususnya di bandaraya ini.

Penduduk negeri ini khususnya Ipoh tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan lambakan ikan kembung segar yang dibawa dari Kuala Muda, Kedah dan dijual pada harga sangat murah iaitu RM10 untuk 3 kilogram (kg).

Inisiatif membawa ikan kembung dari Jeti Kuala Muda dan menjualnya di sini dibuat oleh seorang pengusaha restoran, Khairul Adnan Hamid, 32, kerana ingin memberi peluang kepada orang ramai mendapatkannya dengan harga murah.

"Bermula Selasa lepas, saya pergi suka-suka beli 20kg, tetapi disebabkan ramai yang nak, pada Rabu saya bawa balik 1.5 tan dan tambah 2.5 tan pada Khamis yang dijual di Bandar Meru Raya, Kampung Manjoi dan Taman Perpaduan. Semuanya habis dalam masa 20 minit sahaja.

"Saya jual pada harga murah kerana ingin berkongsi dan bersedekah kepada warga Perak," katanya ketika ditemui di lokasi jualan di Bandar Meru Raya kelmarin.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikan kembung terlajak murah

Khairul Adnan berkata, kelmarin, dia bersama beberapa rakan bertolak seawal jam 6 pagi ke Kuala Muda dan membawa balik sembilan tan ikan kembung yang kemudian dijual di tujuh lokasi sekitar Ipoh termasuk Tapak Pasar Malam Pengkalan Pegoh, Pasar Ikan Segar Kampung Tengku Husin dan di Bandar Baru Putra bermula seawal jam 5.30 petang.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli ikan kembung yang dibawa dari Kuala Muda, Kedah dan dijual semurah RM10 bagi tiga kilogram di Bandar Meru Raya dan beberapa lokasi di sekitar Ipoh kelmarin. - Foto Bernama

Penjualan ikan itu akan diteruskan selagi terdapat bekalan serta permintaan dan akan dihebahkan dalam laman Facebook peribadinya Tuan Denan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pembeli, Kassim Abu, 53, berkata, dia mengunjungi lokasi jualan di Bandar Meru Raya bersama isteri untuk membeli ikan kembung bersaiz sederhana selepas mengetahui mengenai jualan murah itu daripada jirannya di Taman Meru di sini.

"Ramai yang memberitahu ada jualan ikan murah di sini hari ini seperti yang tular dalam laman sosial Facebook jadi saya pun datang untuk membelinya, harap jualan ikan murah seperti ini dapat diteruskan kerana serba sedikit dapat membantu orang susah," katanya.

Awal bulan ini, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, fenomena lambakan ikan di tiga negeri utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang pernah berlaku sekitar 20 tahun lepas.

Beliau berkata, hasil pendaratan ikan di Kedah khususnya mencecah lebih 100 tan sehari. - Bernama