Keistimewaan meninggal ketika dalam ihram

SOALAN:
Jika seseorang meninggal dunia di Tanah Suci ketika dalam ihram, apakah ada keistimewaan tertentu buatnya?
JAWAPAN:
BERDASARKAN beberapa pandangan ulama, seseorang yang meninggal dunia ketika berada dalam ihram akan mendapat keistimewaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Siapa yang meninggal di dua Tanah Haram (Makkah dan Madinah), ALLAH akan membangkitkannya pada hari kiamat dalam keadaan aman.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)
Pahala seperti mati syahid juga dikurniakan kepada mereka yang sabar dan ikhlas.
Bukan itu sahaja, orang yang meninggal dalam ihram mempunyai keistimewaan khusus iaitu tidak dimandi atau dikafankan, sebaliknya hanya dibalut dengan kain ihram sebelum dikebumikan.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Janganlah kamu memandikannya, mengkafankannya (dengan kain kafan yang lain) dan menutupi kepalanya kerana ALLAH akan membangkitnya pada hari kiamat sambil bertalbiah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Ini disebabkan status ihramnya yang suci ketika sedang beribadah.
Menurut hadis lain, mereka yang meninggal dunia dalam keadaan berihram tetap mendapat pahala haji atau umrah yang sempurna.
Selain itu, syariat juga menetapkan bahawa jenazah yang meninggal dunia dalam keadaan ihram tidak dikenakan kafarah atau fidyah kerana kematian tersebut berlaku di luar kawalannya.
Pada masa sama, tidak diwajibkan juga mengqadakan ibadah haji atau umrahnya. Namun, keluarganya dibenarkan untuk melaksanakan badal haji sekiranya si mati meninggalkan wasiat untuk berbuat demikian.
*Jawapan disediakan oleh Ustaz Muhamad Azlan Md Aris, Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang, Kampus Jengka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
