Pinjam duit demi umrah
Walaupun dibolehkan, namun ada syarat ketat yang perlu dipatuhi

SOALAN:
Bolehkah saya meminjam duit daripada orang lain untuk menunaikan ibadah umrah?
JAWAPAN:
TERDAPAT perbezaan penekanan pandangan dalam kalangan ulama berkaitan hukum meminjam wang untuk menunaikan ibadah umrah. Namun begitu, secara umumnya mereka bersetuju dalam empat perkara asas iaitu:
1. Meminjam untuk menunaikan umrah pada dasarnya dibolehkan.
2. Peminjam mesti memenuhi syarat kemampuan kewangan yang ketat.
3. Keutamaan perlu diberikan kepada tanggungjawab utama seperti nafkah keluarga sebelum ibadah sunat.
4. Transaksi pinjaman mestilah bebas daripada unsur yang bercanggah dengan syariat seperti riba dan gharar (ketidakpastian).
Berdasarkan perkara itu, meminjam wang bagi tujuan untuk menunaikan umrah adalah diharuskan dalam Islam dengan syarat pemberi pinjaman memberikan pinjaman secara rela tanpa paksaan, peminjam memiliki kemampuan kewangan untuk membayar hutang tanpa menzalimi diri sendiri atau tanggungannya dan transaksi tersebut bebas daripada unsur riba atau syarat-syarat yang bertentangan syariat.
Kegagalan mematuhi prinsip-prinsip itu boleh menjadikan amalan tersebut bertentangan dengan Maqasid Syariah khususnya dalam aspek pemeliharaan keturunan dan harta.
Namun begitu, perlu dipertimbangkan bahawa umrah (selain umrah kali pertama) merupakan ibadah sunat, bukan kewajipan seperti haji bagi yang berkemampuan.
Jika pinjaman itu menimbulkan bebanan kewangan yang berat, lebih utama untuk menundanya sehingga memiliki kemampuan, selaras dengan prinsip kesederhanaan dan larangan terhadap hutang yang tidak perlu.
*Jawapan disediakan oleh Ustaz Muhamad Azlan Md Aris, Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang, Kampus Jengka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
