Makkah, Madinah hab pelancongan agama dunia

JEMAAH umrah dialu-alukan ketibaannya di Madinah. -Foto: GULF NEWS
JEMAAH umrah dialu-alukan ketibaannya di Madinah. -Foto: GULF NEWS
A
A
A

KEDUDUKAN dua kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah terus cemerlang di persada dunia apabila tersenarai antara destinasi pelancongan utama global.

Makkah berada di tempat kelima di dunia dari segi bilangan pelawat antarabangsa, manakala Madinah pula melonjak ke kedudukan ketujuh dalam Indeks Prestasi Pelancongan Global.

Perkembangan itu sekali gus memperkukuhkan kedudukan Arab Saudi sebagai hab pelancongan agama di peringkat global seiring dengan matlamat Wawasan 2030 negara itu.

Memetik laporan portal berita Gulf News, lebih 18.5 juta jemaah menunaikan haji dan umrah sepanjang tahun 2024.

Daripada jumlah itu, 16.92 juta ialah jemaah umrah yang mencatat peningkatan luar biasa sebanyak 101 peratus berbanding tahun 2022.

“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh integrasi perkhidmatan dan prosedur yang dipermudahkan sehingga pengalaman menunaikan ibadah menjadi lebih lancar dan mudah diakses,” menurut laporan tahunan Program Doyof Ar-Rahman sepertimana dipetik menerusi laman web gulfnews.com baru-baru ini.

Program itu merupakan inisiatif di bawah Wawasan 2030 bertujuan menambah baik setiap aspek perjalanan jemaah bermula daripada ketibaan, pengangkutan, pengayaan budaya hinggalah kepada pelaksanaan ibadah.

Sepanjang tahun 2024, sebanyak 89 inisiatif diperkenalkan menerusi kerjasama lebih 40 buah agensi kerajaan dengan kadar pematuhan mencecah 95 peratus.

Antara pencapaian ketara adalah peningkatan jumlah pengunjung ke Ar-Rawdah Ash-Sharif di Masjid Nabawi, Madinah iaitu daripada empat juta pada 2022 kepada lebih 13 juta pada 2024.

Artikel Berkaitan:

Tahap kepuasan pelawat juga naik daripada 57 kepada 81 peratus.

Dalam pada itu, Gulf News melaporkan, budaya kesukarelawanan melonjak drastik dengan lebih 153,000 sukarelawan terlibat membantu para jemaah sepanjang tahun 2024, berbanding 15,000 sukarelawan pada 2022.

Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah turut menyifatkan aplikasi Nusuk menjadi alat penting bagi umat Islam di seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, katanya, pembukaan semula 15 tapak bersejarah berkaitan kehidupan Nabi Muhammad SAW di Makkah dan Madinah menjadi antara pencapaian kebudayaan utama pada tahun ini.

“Pencapaian ini bukanlah kebetulan. Ia adalah hasil dedikasi tanpa jemu, perancangan bijak dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada jemaah,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!