PSIMA desak gubal Akta Psikologi

SHAH ALAM- Kerajaan didesak menggubal segera Akta Psikologi Malaysia bagi melindungi kesejahteraan mental rakyat daripada penyalahgunaan perkhidmatan tidak bertauliah.
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, pihaknya memandang serius isu tular melibatkan program motivasi rumah tangga yang dikaitkan dengan elemen tidak bermoral, mencabul maruah serta penyalahgunaan pendekatan psikologi dan spiritual tanpa etika serta kelayakan.
“Insiden ini membuktikan keperluan mendesak untuk mengawal selia bidang psikologi secara sah demi melindungi masyarakat Malaysia.
"Program seperti itu boleh memberi kesan psikologi serius kepada masyarakat seperti trauma emosi kepada peserta, kehilangan kepercayaan terhadap khidmat psikologi yang sah, normalisasi tingkah laku ekstrem serta eksploitasi berkedok pemulihan emosi," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.
Tegas beliau, bentuk ‘pseudopsikologi’ atau penggunaan istilah psikologi tanpa asas ilmiah, latihan profesional atau lesen sah merupakan ancaman nyata yang membarah dan perlu dihentikan segera.
“Perkara ini bukan sahaja mengelirukan masyarakat malah membahayakan kesejahteraan mental rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Sehubungan itu, PSIMA mendesak kerajaan mempercepatkan penggubalan akta bagi memastikan rakyat dilindungi daripada individu tidak bertauliah serta menetapkan standard kelayakan pengamal psikologi.
“Akta ini juga penting untuk menyediakan saluran aduan salah laku profesional dan memastikan hanya intervensi psikologi yang diiktiraf dibenarkan,” ujarnya.
Menurutnya, walaupun kaunselor, ahli psikologi klinikal dan pengamal perubatan memiliki akta masing-masing, bidang psikologi secara umum masih belum dilindungi undang-undang.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak latar belakang dan kelayakan penyedia perkhidmatan psikologi sebelum mendapatkan khidmat mereka.
“Masyarakat juga disaran merujuk hanya kepada pengamal bertauliah dan segera melaporkan penyalahgunaan kepada pihak berkuasa atau terus kepada PSIMA,” katanya.
Beliau menegaskan, PSIMA kekal komited memastikan perkhidmatan psikologi di negara ini adalah selamat, beretika dan berkesan.
“Ia bukan sekadar kontroversi, sebaliknya satu isyarat kecemasan bahawa kita tidak boleh lagi menangguhkan penggubalan Akta Psikologi Malaysia,” katanya.
Sebarang aduan berkaitan penyalahgunaan perkhidmatan psikologi boleh dikemukakan kepada PSIMA menerusi talian 019-2063841.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
