[VIDEO] Enam termasuk pengasas eHati, anak direman tiga hari
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Enam individu termasuk pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga eHati dan seorang anak mereka direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, bagi membantu siasatan kes mengaibkan seseorang, berkelakuan tidak senonoh dan dakwaan melakukan jenayah kesalahan kecil.
Majistret, Ameera Mastura Khamis mengeluarkan perintah demikian selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.
Semua suspek yang berusia amtara 26 hingga 47 tahun itu ditahan hingga Jumaat ini.
Sementara itu, peguam, Datuk M Reza Hassan berkata, dalam permohonan berkenaan, suspek terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki.
Beliau hadir bagi mewakili tiga beranak itu bersama seorang peserta program motivasi berkenaan manakala dua lagi suspek iaitu seorang wanita (peserta program motivasi sama) dan suami kepada peserta terbabit diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Menurutnya, anak guam ditahan oleh polis daerah Shah Alam selepas memberikan kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
"Mereka ditahan bagi kes mengaibkan seseorang mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, berkelakuan tidak senonoh bagi Seksyen 294 kanun sama dan dakwaan melakukan jenayah kesalahan kecil.
"Semasa prosiding, saya menghujahkan salah seorang anak guam tidak sihat, namun tidak diterima mahkamah,sebab itu kami memfailkan permohonan mengkaji semula perintah itu," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Sebelum ini, pihak polis memberitahu semua peserta program motivasi itu akan dipanggil untuk diambil keterangan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dilancarkan selepas satu kertas siasatan dibuka berkaitan kes berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dilaporkan meminta Jabatan Agama Islam Selangor menyiasat dakwaan aktiviti tidak bermoral yang berlaku semasa penganjuran program eHati di sebuah pusat konvensyen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
