Golongan profesional, penjawat awam dikenal pasti antara peserta program eHati - Polis

SHAH ALAM - Penjawat awam, golongan profesional antara 50 peserta dipercayai terlibat dalam program motivasi rumah tangga eHati yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di sini September lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mempunyai senarai mereka yang hadir dan menyeru semua individu terlibat supaya tampil memberikan kenyataan.
Beliau berkata, peserta program ini melibatkan pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional dan dari pelbagai negeri termasuk peserta dari Kedah.

"Sekiranya mereka gagal tampil, tindakan lebih tegas akan diambil termasuk penahanan.
"Setakat ini 30 individu telah dirakam percakapan termasuk penganjur dan peserta.
"Polis juga menggesa mereka yang masih belum tampil untuk hadir ke IPD Shah Alam sebelum tindakan tangkapan dilakukan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Beliau berkata, ini merupakan kali pertama polis membuka siasatan ke atas program berkenaan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk meneliti latar belakang pengasas dan status kelayakan mereka.
"Polis memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan secara terperinci dan akan mengumumkan perkembangan selanjutnya dari semasa ke semasa," katanya.
Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang diusahakan oleh sepasang suami isteri.
Dalam hantaran di laman Facebook berkenaan, turut didakwa bahawa dua wanita telah melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.
Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh yang singkat.
Selain itu, peserta turut disuruh melakukan upacara mandi suci dan kelahiran semula yang menyerupai ritual keagamaan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

