Kesatuan Ulama Sedunia fatwakan harus tangguh solat Jumaat

Para jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. -Foto Bernama
Para jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Ulama Sedunia mengeluarkan fatwa hukum penangguhan solat Jumaat adalah diharuskan susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang kini diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik.

Laporan berita antarabangsa Al-Jazeera berkata, fatwa itu terpakai kepada semua negara yang berdepan penularan wabak itu ekoran perkembangan terbaharu yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.

Fatwa penangguhan itu difahamkan turut terpakai untuk solat berjemaah secara am dengan penangguhannya akan ditentukan pihak berkuasa.

Pautan laporan berkenaan turut dikongsikan beberapa pemimpin politik dan figura agama kebangsaan seperti Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman sosial Facebook.

"Persatuan Ulama Dunia yang menyeru seluruh kaum muslimin di negara yang mula tersebar Covid-19 menghentikan solat Jumaat dan solat jemaah,” kata Dr Mohd Asri melalui hantaran Facebooknya.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 13 Mac mengumumkan bahawa solat Jumaat digantikan dengan Zuhur yang dikerjakan di rumah.

Artikel Berkaitan: