Agong tunai solat Jumaat di Masjid Negara sempena Hari Pahlawan

Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan solat Jumaat serta bacaan yassin, tahlil dan doa selamat sempena menjelang sambutan Hari Pahlawan di Masjid Negara pada Jumaat. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menunaikan solat Jumaat serta bacaan yassin, tahlil dan doa selamat sempena menjelang sambutan Hari Pahlawan di Masjid Negara pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara hari ini menjelang sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai nanti.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah di masjid berkenaan pada 12.30 tengah hari disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Seri Paduka kemudian berkenan menyertai majlis bacaan surah Yasin sebelum mendengar khutbah yang disampaikan Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Ghazali Daud.

Selesai solat Jumaat yang dipimpin Ghazali, Yang di-Pertuan Agong berkenan beramah mesra, bersalaman serta swafoto dengan jemaah yang antaranya terdiri daripada anggota keselamatan sebelum berangkat meninggalkan Masjid Negara pada kira-kira 2.15 petang.

Terdahulu, dalam khutbah bertajuk ‘Mengenang Jasa Pahlawan’ itu, Ghazali mengingatkan rakyat bahawa jasa setiap pahlawan negara harus sentiasa dikenang serta dihargai kerana perjuangan dan pengorbanan mereka sama ada sebelum mahupun pascamerdeka telah mencipta ketamadunan di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah berkenan beramah mesra bersama anggota Polis Diraja Malaysia - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan beramah mesra bersama anggota Polis Diraja Malaysia - Foto Bernama

"Para pahlawan negara telah mewariskan negara ini kepada kita untuk dijaga dengan baik. Maka, sebagai generasi hari ini, menjadi tanggungjawab kita pula untuk memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara daripada diusik oleh mana-mana anasir luar yang berniat menghancurkan negara,” katanya.

Beliau juga menasihatkan rakyat supaya tidak mengamalkan sikap individualistik dan eksklusif yang terarah kepada pengumpulan harta kekayaan dan keuntungan peribadi kerana Malaysia perlu dibina dan dipelihara bersama oleh setiap lapisan masyarakat.

"Para pemimpin bertanggungjawab menyatukan rakyat tanpa melihat perbezaan, manakala seluruh rakyat pula perlu menyahut dan mendokong usaha tersebut. Sebarang usaha provokasi dan pemecah belah masyarakat perlu dihindari dan ditepis dengan bijaksana,” katanya.

Beliau berkata, mental dan fizikal golongan pemuda juga perlu dipersiapkan sesuai dengan bidang kepakaran masing-masing supaya negara dapat dibangunkan seimbang dari segenap segi tanpa mencicirkan satu sudut sekalipun.

Katanya, golongan pemuda kini tidak boleh dilekakan dengan hiburan yang melalaikan, fahaman songsang, gaya hidup bebas serta amalan tidak baik. - Bernama