Kilang dalam proses diroboh musnah terbakar

BAYAN LEPAS - Sebuah kilang yang sedang dalam proses perobohan di kawasan Perindustrian Bayan Lepas musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.26 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru bersama bantuan dari BBP Jalan Perak digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 11.34 pagi.
“Ketika tiba di lokasi, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah bangunan kilang jenis Kelas A yang sedang dalam proses perobohan.
“Kebakaran melibatkan anggaran keluasan 20 x 20 kaki persegi dan kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya lagi, operasi kawalan kebakaran berjaya dilakukan dalam tempoh kurang 20 minit, namun kerja-kerja pemadaman sepenuhnya masih dijalankan ketika ini.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. Seramai 18 anggota termasuk penyelia pasukan terlibat dalam operasi bersama tiga jentera iaitu dua dari BBP Bayan Baru serta satu FRT dari BBP Jalan Perak.
“Turut membantu operasi ialah Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Batu Maung, Gertak Sanggul, Mount Erskine dan Perak Lane,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

