Menteri Luar Australia asal Sabah Penny Wong tegaskan khubungan rakyat asas persahabatan Malaysia-Australia

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata hubungan erat antara rakyat menjadi asas penting dalam membina persahabatan jangka panjang antara Australia dan Malaysia.
Menurut beliau, hubungan dua hala yang akrab antara kedua-dua negara berpaksikan sejarah bersama dan pertukaran antara rakyat yang telah terjalin sejak sekian lama.
“Saya sangat berbesar hati untuk berucap dengan anda semua dari Malaysia, negara kelahiran saya. Saya tidak akan lupa pengalaman awal bersama keluarga dan rakan-rakan di Kota Kinabalu, Sabah.
“Cerita saya seperti ramai rakyat Australia yang lain adalah sebuah kisah Australia moden di mana hampir separuh daripada rakyat Australia dilahirkan di luar negara atau mempunyai ibu bapa yang dilahirkan di luar negara,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram pada Selasa.
Video itu turut memaparkan rakaman zaman kanak-kanaknya di Kota Kinabalu, Sabah serta kemunculan beliau dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang bertempat di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Penny berkata, latar belakang masyarakat Australia yang berbilang budaya menjadi kekuatan negara itu dalam menjalin hubungan lebih erat dengan pelbagai negara, termasuk di rantau Asia Tenggara.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan diplomatik antara Australia dan Malaysia terus diperkukuh sempena ulang tahun ke-70 tahun ini, termasuk sokongan Australia terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan serantau untuk menyokong visi bersama bagi Indo-Pasifik yang lebih selamat, terjamin dan makmur, di mana ASEAN memainkan peranan penting,” katanya lagi.
Penny mengakhiri ucapan itu dengan harapan agar hubungan erat antara kedua-dua negara akan terus dipelihara dan dipertingkatkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

