[VIDEO] Kecurian kabel rel: Ada keperluan mendesak pinda undang-undang - Menteri
PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui terdapat keperluan mendesak untuk meneliti dan meminda peruntukan undang-undang sedia ada berhubung kes kecurian kabel rel bagi memastikan hukuman yang dikenakan benar-benar memberi kesan pencegahan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam satu pertemuan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan semua operator perkhidmatan kereta api termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang merupakan pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), baru-baru ini.
“Kita bersetuju bahawa ada keperluan untuk teliti ke arah memindanya (akta) bagi mewujudkan satu kesan pencegahan kepada insiden ini.
"Kita mengambil juga model beberapa operator kereta api di negara maju seperti Jerman dan China. Di China, hukuman curi kabel rel dikenakan hukuman bunuh kerana ia melibatkan kemalangan yang mungkin mengorbankan jiwa, tetapi kita tidak sampai ke tahap itu lagi," katanya.
Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas Majlis Bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan harga tembaga dan logam yang tinggi di pasaran mendorong sindiket curi kabel menyasarkan landasan rel sehingga menyebabkan kepada gangguan perkhidmatan.
Kerugian yang dialami Prasarana mencecah RM20.6 juta sejak 2023, dengan peningkatan kes mula ketara sejak 2024.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, denda sekitar RM1,000 yang dikenakan terhadap pesalah curi kabel disifatkan tidak setimpal serta gagal memberi kesan pencegahan berterusan, apabila individu sama ditahan semula atas kesalahan tersebut.
Lebih mengejutkan, beliau turut mendedahkan bahawa sindiket mencuri kabel perkhidmatan tren kini semakin berani dan berbahaya kerana dikesan membawa senjata seperti pistol dan parang ketika melakukan kegiatan jenayah.

Menurut Saifuddin, kes kecurian kabel banyak dilaporkan melibatkan tapak projek ECRL di Pahang meskipun pengoperasian perkhidmatan rel berkenaan belum bermula.
"Insiden kecurian kabel rel ini melibatkan dua komponen utama iaitu kabel kuasa dan kabel isyarat. Kebiasaanya kabel isyarat sering menjadi sasaran kerana mudah dijual kepada kilang besi buruk dan memberi pulangan segera yang tinggi," jelas beliau.
Selain meneliti pindaan akta, beliau memaklumkan turut mengarahkan Bahagian Perlesenan KDN untuk menyemak senarai pemilik kilang pelupusan besi dan logam bagi mengenal pasti sebarang penglibatan dalam pembelian kabel curi.
“Kalau mereka terlibat dengan pembelian kabel curi ini, KDN akan segera mengambil tindakan termasuk tanpa teragak-agak,” tegasnya.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan bahawa usaha mencegah kecurian tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada polis dan agensi penguat kuasa semata-mata sebaliknya operator rel perlu bersedia untuk melabur dalam teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengekang insiden kecurian.
“Di negara maju, operator banyak melabur dari segi teknologi bagi menghalang insiden kecurian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

