'Pesta' Gay: Memalukan berlaku di Kelantan - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari.
Ahmad Fadhli Shaari.
A
A
A

 

SHAH ALAM - Serbuan terhadap 'pesta' gay oleh polis Kelantan disifatkan sebagai kejadian memalukan memandangkan ia berlaku di negeri yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari bagaimanapun berkata, apa yang perlu diberi keutamaan adalah usaha pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti tersebut, bukan menutup mata demi menjaga persepsi orang lain.

“Ia memalukan kerana berlaku di Kelantan. Jika berlaku di Kuala Lumpur seperti serbuan di Blue Boy Club pada Ogos 2018 atau parti Halloween lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada Oktober 2022.

“Di Johor Bahru seperti pesta seks sejenis pada Februari 2023, bahkan di Pulau Pinang seperti pesta seks di sebuah unit kondominium pada Jun 2022 di mana polis menemui kondom, pelincir, dan dadah jenis ketamin, tentu ia tidak memalukan.

“Bahkan itu dianggap biasa tetapi apabila ia berlaku di Kelantan, maka ia dikata mengaibkan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Polis Kelantan pada Khamis memaklumkan pihaknya menyerbu satu perjumpaan gay yang melibatkan lebih 100 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di Kemumin di sini pada pertengahan Jun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan pada jam 1 pagi hasil maklumat awam dan intipan yang dilakukan oleh pasukan khas.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mengucapkan penghargaan atas tindakan tegas polis Kelantan dalam menyerbu pesta tersebut yang disifatkan mencemarkan maruah negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan Kelantan juga perlu diberikan ruang untuk merangka undang-undang lebih tegas bagi menyekat gejala berkenaan tanpa sebarang sekatan.

“Usaha ini wajar dipuji dan diteruskan hingga budaya songsang ini lenyap dari bumi Kelantan.

"Kita berharap polis terus konsisten, banteras budaya ini hingga ke akar umbi.

“Untuk rekod, Mahkamah Persekutuan misalnya pada 25 Februari 2021 telah membatalkan peruntukan Enakmen Syariah Kelantan berkaitan larangan lelaki berpakaian seperti perempuan atas alasan bertindih dengan undang-undang Persekutuan.

“Justeru, Kelantan perlu mengkaji apakah lagi ruang yang boleh diterokai untuk mewujudkan undang-undang lebih keras namun selari dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!