Cikgu didakwa amang seksual anak murid dalam perpustakaan

SEREMBAN - Seorang guru lelaki sekolah rendah di Kuala Pilah, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan berusia sembilan tahun.
Tertuduh, Ariffin Mohd Nor, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun enam bulan bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 1 tengah hari hingga jam 1.30 tengah hari di perpustakaan sebuah sekolah di Kuala Pilah pada 2 Januari 2024.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Jika disabitkan boleh dipenjarakan sehingga tempoh 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memberitahu mahkamah bahawa mangsa adalah muridnya dan memohon wang jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan beserta tiga syarat tambahan.
Peguam, Ramzani Idris memaklumkan, anak guamnya kini sudah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala dan tidak lagi berjumpa dengan mangsa.
Tambahnya, anak guamnya juga memberikan kerjasama kepada polis sepanjang siasatan sejak tahun lalu dan memohon jaminan yang rendah.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tidak mengganggu saksi, melapor diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 18 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

