Tempat kerja ruang bakat berkembang, bukan medan membawang

Tempat kerja sepatutnya menjadi tempat bakat berkembang, bukan medan membawang. Gambar hiasan
Tempat kerja sepatutnya menjadi tempat bakat berkembang, bukan medan membawang. Gambar hiasan
A
A
A

PAGI semalam, seorang rakan Merak Jalanan cerita perihal kisah yang berlaku berlaku di tempat kerjanya.

“Aku masuk pejabat dengan perasaan tenang, tetapi lepas dengar cerita dalam pantri terus rasa lemah,” katanya.

Seperti biasa, topiknya tidak lari daripada kisah rakan sekerja iaitu siapa rajin, malas, pandai mengipas dan tidak lupa pula yang asyik mengelat daripada tanggungjawab.

“Dia tu bukan buat kerja sangat pun tapi melebih-lebih tunjuk depan bos pula,” kata suara dalam pantri.

Kemudian dakwaannya itu dibalas dengan jawapan: “Haah, tapi yang kena buat kerja kita juga.”

Merak Jalanan tersenyum tawar. Beginilah lumrah di sesetengah tempat kerja daripada fokus pada amanah sendiri, lebih suka mengintai kekurangan orang lain.

Boleh pula lupa bahawa setiap manusia ada cerita, ujian dan beban masing-masing. Yang nampak tenang mungkin sedang menyembunyikan luka, tidak kurang pula dilihat senyap tetapi menanggung seribu tekanan.

Merak Jalanan ingin berpesan daripada mengata orang, lebih baik kita jaga kerja sendiri. Tidak perlu menjadi penilai tanpa tauliah untuk prestasi rakan sekerja.

Jika benar ada kelemahan, sampaikan dengan hikmah. Sekiranya tidak mampu membantu, lebih baik diam dan beri ruang.

Artikel Berkaitan:

Kepada ‘pinggan tambah’ pula yang selalu jadi penambah rasa dalam perbualan panas, berhentilah sejenak dan fikirkan kesan kata-kata. Jangan menjadi batu api yang membakar keharmonian tempat kerja. Dek hanya kerana sembang kosong, maruah orang lain tergadai.

Tempat kerja sepatutnya menjadi tempat bakat kita berkembang, bukan medan membawang. Sebarkan sikap profesional, pupuk empati dan belajar memahami.

Jadilah pekerja yang bukan sekadar menyumbang tenaga tetapi juga aura positif kepada sekeliling. Ingatlah, kata-kata boleh jadi senjata sama ada untuk membina atau memusnahkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!