Sharon Paul lega, tenang lepas bercerai

KOMPOSER terkenal, Sharon Paul akhirnya membuka mulut mengenai status rumah tangganya bersama pelakon Rusdi Ramli.
Menurut Sharon atau nama penuhnya Sharon Paul Abdullah mereka sebenarnya sudah sah bercerai sejak Januari tahun lalu lagi.
“Saya sudah bercerai sejak Januari tahun lalu. Saya sendiri yang uruskan proses perceraian itu dengan melantik peguam dan selesaikan semuanya,” katanya kepada mStar.
Pasangan itu berpisah dengan talak satu selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga.
Sharon, 47, turut mengakui fasa perceraian itu bukan sesuatu yang mudah. Dia terpaksa mengurus banyak perkara dalam satu masa termasuk pinjaman rumah, komitmen bil dan perniagaan sendiri, selain menjaga dua anak mereka.

“Tahun ini saya anggap sebagai tahun pemulihan. Kadang-kadang kita perlu jatuh dulu sebelum boleh bangkit semula," ujarnya.
Lebih melegakan, Sharon berkata dia kini berasa lebih tenang dan bebas selepas keluar daripada perkahwinan yang penuh tekanan emosi.
Malah kedua-dua anak mereka memilih untuk tinggal bersamanya tanpa sebarang paksaan.
“Saya gembira dan rasa bebas sekarang. Ada satu istilah mengenai perkara yang saya terpaksa hadap selama ini iaitu ‘cold violence’.
“Anak-anak pilih untuk tinggal bersama saya. Tidak ada gunanya minta nafkah, hanya membazir duit untuk bayar peguam. Mereka boleh saja tinggal dengan Rusdi tetapi mereka lebih selesa duduk dengan saya," jelasnya lagi.
Sharon dan Rusdi mendirikan rumah tangga pada tahun 2008 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Reo Ridza, 16, dan Ryan Ridza, 13.
Untuk rekod, Rusdi juga mempunyai seorang anak lelaki, Efiezal Ridza, 34, hasil perkahwinan terdahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

