Pempengaruh mohon maaf selepas gelar rakyat Kelantan 'jakun'

KOTA BHARU - Seorang pempengaruh tampil memohon maaf selepas menggelar rakyat Kelantan dengan perkataan 'jakun' semasa membuat 'live' di satu program jualan makanan di sini pada Sabtu.
Individu terbabit telah berbuat demikan melalui satu hantaran video di TikTok pada Rabu.
Sebelum itu kecoh di media sosial terutamanya di TikTok apabila ramai yang menyuarakan rasa marah di atas perkataan 'jakun' digunakan individu berkenaan.
Hal tersebut telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak terutama di TikTok sehingga ada yang mendesak individu berkenaan untuk meminta maaf.
Isu yang tular di media sosial itu turut mendapat perhatian daripada Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, Prof Dr Nawi @ Mohd Nawi Ismail yang berpandangan perkataan itu tidak seharunya digunakan dan tidak kena pada tempatnya.
Menurutnya, 'jakun' adalah satu perkataan yang seolah-olah menghina dan merendahkan martabat seseorang atau kumpulan.
"Apabila individu tersebut menggunakannya dalam perbualan, ia seolah-olah menggambarkan orang Kelantan ketinggalan, tidak berada dalam kemodenan.
"Orang suku kaum Orang Asli sendiri tidak suka menggunakan perkataan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mohd Nawi mengulas, menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi ke empat, 'jakun' membawa maksud penduduk Orang Asli Semenanjung Malaysia dari suku kaum Melayu Proto yang tinggal di Selatan Semenanjung iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan.

Ujar beliau, 'jakun' dalam erti kata dari sudut bahasa sinis ialah yang mundur dan ketinggalan.
Menurutnya, pada pandangan beliau mungkin perkataan yang dilontarkan itu tidak kena dengan tempatnya.
"Perkataan yang sesuai untuk menggambarkan situasi tersebut bukan 'jakun' tetapi cakna.
"Sejarah orang Kelantan, mereka bersikap cakna dan sering memberi sokongan kuat terhadap sesuatu perkara yang elok dari sudut adat, budaya serta nilai kehidupan. Mereka juga suka membantu dan ambil tahu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

