SPRM mohon maaf kepada keluarga Teoh Beng Hock

Tan Sri Azam Baki (kiri). Gambar kanan: Mendiang Teoh Beng Hock
Tan Sri Azam Baki (kiri). Gambar kanan: Mendiang Teoh Beng Hock
A
A
A

 

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menzahirkan permohonan maaf kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock serta memperbaharui komitmen memperkukuh integriti dan penambahbaikan institusi sempena memperingati 16 tahun pemergian mendiang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun siasatan terkini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara tidak menemui bukti mencukupi terhadap mana-mana individu, pihaknya tetap memandang serius insiden berkenaan.

"Insiden ini merupakan titik hitam dalam sejarah SPRM dan telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada keluarga mendiang tetapi juga seluruh warga SPRM serta negara.

"Atas dasar keprihatinan, saya ingin menzahirkan rasa simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang mereka tanggung sepanjang tempoh 16 tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Azam berkata, SPRM turut mengiktiraf semua hasil siasatan berhubung kes itu termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 serta siasatan terkini oleh PDRM.

Beliau berkata, sejak kejadian pada 16 Julai 2009 itu, SPRM mengambil langkah serius memperbaiki kelemahan dan membina semula kepercayaan rakyat terhadap suruhanjaya itu.

Menurutnya, beberapa langkah penambahbaikan telah dilaksanakan antaranya mewujudkan Bilik Rakaman Bervideo (VIR) untuk merekod keterangan saksi, suspek dan orang kena tangkap.

"SPRM juga menambah baik Bilik Temu Bual Saksi yang terletak di aras bawah bangunan bagi memudahkan akses dan membolehkan pemantauan yang lebih telus.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi turut ditambah dan diletakkan di lokasi strategik bagi merakam pergerakan semua individu yang hadir ke premis SPRM," katanya.

Beliau berkata, kompleks SPRM juga kini dilengkapi jeriji besi mengikut garis panduan ditetapkan pihak berkuasa, selain memperkenalkan penggunaan kamera badan (Body Worn Camera - BWC) semasa siasatan dijalankan.

"Teknik soal siasat turut diperkasakan dengan pendekatan model PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation) yang diguna pakai di United Kingdom, dan kini dikenali sebagai MACC PEACE.

"Teknik ini lebih menekankan kepada aspek keberhasilan dan keselamatan semasa proses siasatan dijalankan," katanya.

Azam berkata, kerajaan sebelum ini membayar pampasan sebanyak RM600,000 kepada keluarga mendiang, selain tambahan RM60,000 untuk menampung kos guaman sebagai penyelesaian penuh di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

"Sebagai tanda keprihatinan, SPRM juga bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang, dalam jumlah yang akan ditentukan kelak," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa SPRM kekal komited dalam memperkukuh integriti dan ketelusan serta usaha penambahbaikan institusi secara berterusan.

"SPRM akan terus memastikan hak dan kebajikan semua individu yang hadir membantu siasatan sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip keadilan dan tanggungjawab," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!