Penguatkuasaan berterusan kekang aktiviti seludup di pintu utama pelabuhan - Kastam

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil langkah-langkah proaktif penguatkuasaan secara berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di pintu utama pelabuhan.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, JKDM terlibat dalam satu operasi bersepadu Op Metal yang dilaksanakan di lima buah negeri melalui kerjasama diketuai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bermula 14 Julai lalu.

Katanya, operasi tersebut dilaksanakan sebagai usaha berterusan JKDM untuk membanteras aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan mencegah ketirisan hasil negara.
"Penglibatan JKDM dalam operasi inter-agensi terbabit mencerminkan komitmen jabatan dalam memperkukuh tadbir urus serta memastikan ketelusan dan
integriti dalam industri yang berisiko tinggi terhadap aktiviti tidak sah," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Tambah Anis, pendirian pihaknya jelas, tegas dan konsisten di mana JKDM tidak akan berkompromi atau melindungi pihak yang terbabit dalam aktiviti menyeludup dan penyelewengan cukai.

Mengulas mengenai modus operandi mengeksport barang buangan terjadual seperti sampah elektronik (e-waste) atau skrap, beliau menjelaskan, sindiket akan membuat pengikraran palsu atau tidak betul.
Menurutnya, JKDM sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dalam perkara ini.
"Sebagai makluman, pada tahun lalu, JKDM mengadakan operasi khas e-waste di Pelabuhan Klang, Selangor bermula pada Ogos hingga Disember.
"Daripada 336 buah kontena yang diperiksa secara bersama oleh JKDM dan JAS, sebanyak 306 kontena disahkan membawa barangan e-waste dan diserahkan kepada JAS," ujarnya.
Tegasnya, bagi kes-kes yang melibatkan skrap, JKDM akan menjalankan siasatan ke atas mana-mana orang yang melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan mahkamah.
"Bagi isu pengikraran tidak betul atau tidak benar, jika sabit kesalahan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 133 Akta Kastam 1967," katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan SPRM menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta menerusi serbuan Op Metal ke atas sindiket penyeludupan besi di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Johor bermula Isnin.
Sebanyak 45 akaun syarikat dan 82 akaun perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM51 juta telah dibekukan.
SPRM kini sedang mengenal pasti pihak-pihak yang bersekongkol dengan sindiket ini yang menyeludup keluar besi serta bahan buangan e-waste melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
