TDM guna dron kekang penyeludupan di Sungai Golok

RANTAU PANJANG – Tentera Darat Malaysia (TDM) menggunakan dron dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan di Sungai Golok yang menjadi sempadan antara Malaysia dan Thailand di negeri ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhamad Hafizuddeain Jantan berkata, teknologi berkenaan turut digunakan bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi anasir yang boleh menggugat keselamatan.
“Penggunaan dron banyak membantu TDM dalam melaksanakan rondaan di kawasan yang sukar dilalui kenderaan termasuk motosikal.
“Bagaimanapun, rondaan secara berkala tetap dijalankan di sepanjang kawasan sempadan bawah tanggungjawab Op Merpati,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke kawasan operasi 8 Briged sempena Aidilfitri di Pos Tok' O, di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, rondaan itu bagi memastikan keselamatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Katanya, ketika ini aktiviti penyeludupan di sempadan masih terkawal dan TDM sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

