Loji rawatan sisa enap cemar bocor punca sungai tercemar - Exco

MELAKA - Kerajaan negeri telah mengenal pasti punca utama pencemaran Sungai Air Batu Sungai Udang di sini disebabkan kebocoran pada Loji Rawatan Sisa Enap Cemar (LTP) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, hasil siasatan mendapati loji berkenaan kini telah melebihi kapasiti maksimum, sekali gus menyumbang kepada pencemaran sungai tersebut.

“Kapasiti semasa loji hanya sekitar 300 meter padu, namun kini ia telah meningkat kepada 800 meter padu.
"Situasi ini memberi tekanan kepada sistem rawatan sisa dan menyebabkan kebocoran berlaku," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah mengambil langkah segera melalui kelulusan peruntukan di bawah Jawatankuasa Sisa Pepejal Negara (JSPN) bagi menaik taraf loji berkenaan.
Ujar beliau, kerja-kerja menaik taraf sedang dijalankan dan apabila siap nanti, kapasiti LTP akan ditingkatkan kepada 800 meter padu bagi menampung jumlah sisa dengan kapasiti yang lebih besar berbanding sebelum ini.
Malah katanya, bagi penyelesaian jangka pendek, pihaknya juga telah meluluskan pembinaan sel baharu di tapak pelupusan tersebut yang dijangka siap beroperasi pada Februari tahun depan.
“Dengan pembukaan sel baharu ini, tekanan terhadap kawasan yang mengalami kebocoran dapat dikurangkan sekali gus mengawal aliran sisa ke kawasan sekitar," ujarnya lagi.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut merangka pelan jangka panjang melalui pembinaan Loji Waste-To-Energy (WTE) bernilai RM660 juta di Sungai Udang.
“Projek ini dijangka siap selewat-lewatnya tahun 2029 dan akan menjadi pemangkin kepada sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan di Melaka," katanya.
Mengulas lanjut beliau yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang berkata, kerajaan negeri menyedari kesukaran yang terpaksa dihadapi penduduk DUN itu sejak beberapa tahun lalu disebabkan masalah sampah.
Sehubungan itu beliau telh memberi jaminan bagi memastikan isu pencemaran tersebut ditangani secara menyeluruh demi kesejahteraan penduduk setempat dan kelestarian alam sekitar.
Tambahya, pencemaran turut diburukkan lagi dengan pelepasan sisa ternakan lembu di kawasan sungai berkenaan.
"Oleh itu kita juga akan berbincang dengan penternak bagi menambah kolam takungan sisa supaya aliran terus ke sungai dapat dielakkan," katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan lebih 50 petani dan penternak di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang mendesak kerajaan segera menoktahkan isu pencemaran air busuk di Sungai Air Batu kampung berkenaan yang berlarutan sejak dua dekad lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

