Jejantas RM8 juta: Pemuda DAP desak penjelasan kerajaan negeri

MELAKA – Pemuda DAP (DAPSY) Melaka mewakili rakyat negeri ini meminta penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung projek menaik taraf Jejantas Tun Teja di Peringgit yang didakwa menelan kos sehingga RM8 juta.
Ketuanya, Cassel Krishnan berkata, meskipun projek berkenaan telah siap, ia masih menjadi perdebatan termasuk persoalan mengenai dua penyata akaun serta tender projek tersebut yang dianggarkan bernilai sedemikian.
Menurutnya, mereka mendesak kerajaan negeri mendedahkan kos sebenar projek itu supaya rakyat lebih yakin terhadap ketelusan kerajaan yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Katanya, bukan niat untuk bersangka buruk atau mengaitkan isu ini dengan rasuah, namun rakyat perlu diberikan penjelasan yang sebenar apatah lagi projek berkenaan memberi manfaat kepada para peniaga kecil.
“Penjelasan ini penting supaya rakyat tidak terus membuat andaian yang boleh menjejaskan imej ketelusan Kerajaan Perpaduan, lebih-lebih lagi apabila projek itu dirasmikan oleh Ketua Menteri.
“Sebab itu kita desak kerana sehingga sekarang kita masih belum menerima penyata akaun dan tender yang lengkap, teliti serta telus bagi menunjukkan kos sebenar jejantas tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Tambah Cassel, dengan bajet sebanyak RM8 juta, pelbagai pendekatan boleh diambil oleh kerajaan negeri bagi membantu peniaga kecil kerana kemudahan jejantas seharusnya memberikan manfaat kepada rakyat tempatan, bukan semata-mata kepada pelancong atau warga asing.
“Dengan jumlah itu, jika niatnya untuk bantu 100 peniaga kecil sebagai contoh, boleh sahaja diberikan RM80,000 seorang, jika benar tujuan utamanya ialah untuk meningkatkan ekonomi mereka,” ujarnya.
Baru-baru ini, wakil rakyat pembangkang turut mempersoalkan keadaan bumbung Jejantas Tun Teja di Peringgit yang dipercayai menelan kos RM8 juta dan mula dibuka lima bulan lalu selepas proses naik taraf, namun telah mengalami kebocoran sehingga tular di media sosial dan menjejaskan imej Melaka sebagai negeri pelancongan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

