Motivasi jangan sampai jadi songsang

Fenomena kebanjiran program pembangunan diri berunsur agama, spiritual atau psikologi yang bebas bergerak tanpa pemantauan wajar diberi perhatian serius. Gambar hiasan
Fenomena kebanjiran program pembangunan diri berunsur agama, spiritual atau psikologi yang bebas bergerak tanpa pemantauan wajar diberi perhatian serius. Gambar hiasan
A
A
A

POLIS pada Selasa telah menahan seorang pengasas syarikat dan suaminya susulan penganjuran program motivasi rumah tangga yang didakwa mengandungi unsur lucah serta menyimpang daripada norma masyarakat.

Kejadian berkenaan mencetuskan persoalan dalam kalangan masyarakat yang mana adakah program berkonsepkan ‘healing’, spiritual dan pembangunan diri benar-benar membantu atau sekadar menjadi ruang untuk eksploitasi emosi dan nafsu?

Program yang sebelum ini dipromosikan sebagai platform memperbaiki hubungan suami isteri kini disiasat mengikut Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Masyarakat mula memberi perhatian serius selepas satu pendedahan tular mendakwa program tersebut melibatkan aksi dua wanita melakukan tarian bogel.

Turut dilaporkan, peserta diberi sejenis minuman dinamakan 'air Piya' yang mencetuskan rasa curiga dan kecaman awam.

Polis mengesahkan lebih 50 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan, manakala pihak penganjur menafikan semua dakwaan, menyatakan air tersebut hanyalah campuran koko, madu dan rempah semula jadi.

Namun begitu, persoalan utama kekal bagaimana sebuah program motivasi yang kononnya mendekatkan peserta kepada nilai keinsafan dan kesejahteraan batin boleh terpesong sehingga melibatkan tingkah laku melampaui batas?

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga menjalankan siasatan terhadap modul program terbabit bagi meneliti kemungkinan wujud ajaran menyimpang atau elemen yang bertentangan dengan hukum syarak.

Siasatan kini dijalankan dari dua sudut membabitkan jenayah dan agama, sekali gus menzahirkan kebimbangan terhadap kebebasan sesetengah pihak menganjurkan program motivasi tanpa semakan isi kandungan atau latar belakang penceramah.

Artikel Berkaitan:

Fenomena kebanjiran program pembangunan diri berunsur agama, spiritual atau psikologi yang bebas bergerak tanpa pemantauan wajar diberi perhatian serius.

Ada yang berselindung di sebalik istilah popular seperti healing, energi dan pemulihan jiwa tetapi kandungannya mencurigakan.

Masyarakat pula kadangkala terlalu cepat terpesona dengan istilah dan gaya persembahan, lalu meletakkan kepercayaan penuh tanpa semakan mendalam terhadap kelayakan penganjur atau prinsip ajaran yang dibawa.

Lebih membimbangkan, kuasa tular di media sosial kini menjadi alat utama menekan tindakan pihak berkuasa, walaupun siasatan secara sah masih berjalan.

Dalam keadaan tersebut, masyarakat perlu bijak menilai dan menunggu hasil siasatan rasmi sebelum membuat penghakiman terbuka.

Namun, kes ini telah membuka ruang penting untuk menilai semula keperluan garis panduan ketat bagi sebarang program motivasi atau pembangunan spiritual supaya nama ‘healing’ tidak dijadikan alasan untuk mempermainkan emosi, maruah dan akidah.

Apabila emosi manusia yang rapuh dijadikan bahan eksploitasi, ia bukan lagi motivasi sebaliknya manipulasi dan jika tidak dikawal, ia boleh menjelma sebagai bentuk penyelewengan yang berselindung di sebalik niat murni.

Akhirnya, masyarakat, agensi pemantau dan pengamal motivasi itu sendiri harus sama-sama memikul tanggungjawab kerana motivasi tidak seharusnya jadi medan kesesatan.

Jangan sampai niat memulih jadi racun yang merosak.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!