Lima ahli sindiket penipuan seks dan pemerasan seksual diheret ke mahkamah

JOHOR BAHRU - Lima ahli sindiket penipuan seks dan pemerasan seksual dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan memperdagangkan dua remaja dan seorang lelaki dewasa bagi tujuan eksploitasi kerja dan pemerdayaan.
Bagaimanapun kesemua ahli sindiket berkenaan, Sham Chee Fei, 33; Kuek Pei Lin, 19; Lee Chun Kit, 28; Tommy Voo Tze Hau, 27 dan seorang tertuduh juvana lelaki berusia 17 tahun, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.
Mengikut pertuduhan, empat lelaki dan seorang wanita itu didakwa memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan remaja lelaki berusia 16 tahun bagi maksud eksploitasi kerja serta seorang lelaki berusia 26 tahun bagi maksud sama dengan cara pemerdayaan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Kulai antara 23 Mac lalu hingga 23 Mei lalu.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan boleh dihukum sebat, jika sabit kesalahan.
Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 12 akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, Pei Lin; Tze Hau dan tertuduh juvana mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan yang lain.
Mereka didakwa mencapai niat bersama menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak terhadap dua mangsa remaja yang sama dalam bentuk video dan gambar.
Bagi perbuatan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, seorang lagi ahli sindiket, Abdul Rahufur Rahim Idris, 30, mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menyuruh mangsa remaja perempuan berkenaan melakukan aktiviti bersifat seksual terhadap remaja lelaki terbabit.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(f) AKSTK 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua empat tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di rumah yang sama, mulai jam 6 petang, 22 Mei hingga 5 pagi, 23 Mei lalu.
Sementara itu, Chun Kit mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan mempunyai bahan penganiayaan seksual kanak-kanak sebanyak dua keping gambar dan dua video dalam telefon bimbitnya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah yang sama, kira-kira jam 11.20 pagi, 20 Jun lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 10 AKSTK 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir dan Nur Farah Wahida Shahudin.
Dalam pada itu, peguam, Muhammad Abd Kadir dan Gary Ng Boon Hui mewakili tertuduh Chun Kit, Tze Hau dan Chee Fei, manakala peguam N Moganeysha mewakili Abdul Rahufur Rahim; Pei Lin dan tertuduh juvana.
Kesemua tertuduh kemudiannya dibenarkan ikat jamin dengan Chee Fei sebanyak RM15,000; Pei Lin (RM30,000); Chun Kit (RM26,000); Tze Hau (RM35,000); tertuduh juvana (RM20,000) dan Abdul Rahufur Rahim (RM6,000).
Mereka turut dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Kedua-dua mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 13 Ogos, 14 Ogos dan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
