Mangsa sindiket pemerasan seksual dikurung, didera dan dipaksa makan cili

M Kumar (kiri) menunjukkan carta aliran kegiatan jenayah peras ugut seksual pada sidang media berhubung kejayaan rampasan dadah dan pembanterasan kegiatan jenayah menerusi Op Bugil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. Foto Bernama
M Kumar (kiri) menunjukkan carta aliran kegiatan jenayah peras ugut seksual pada sidang media berhubung kejayaan rampasan dadah dan pembanterasan kegiatan jenayah menerusi Op Bugil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemerasan seksual serta penipuan dalam talian hasil beberapa siri serbuan di sekitar kawasan Kulai dan Johor Bahru bermula 20 Jun hingga 1 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kulai dan Johor Bahru Selatan, seramai sembilan warga tempatan melibatkan tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 59 tahun telah ditahan.

Menurutnya, dalam masa sama, polis turut berjaya menyelamatkan dua remaja lelaki dan perempuan berusia 15 dan 16 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi kerja paksa dan penderaan seksual oleh ahli sindiket tersebut.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu mula bergiat aktif sejak November 2024 dengan modus operandi menyamar sebagai wanita cantik menggunakan akaun media sosial palsu dan memaksa mangsa melakukan panggilan video lucah.

“Pada masa yang sama, sindiket akan menghantar pautan ‘phishing’ bagi tujuan menggodam telefon bimbit mangsa, menggunakan rakaman video lucah tersebut untuk mengugut mangsa dengan permintaan wang secara berperingkat.

“Mangsa yang mengalami tekanan emosi dan ketakutan akhirnya membuat pemindahan wang ke akaun sindiket seperti diarahkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Isnin.

Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan antaranya 27 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dokumen pengenalan diri, tiket kapal terbang, resit tukaran wang, wang tunai pelbagai mata wang (RM140, 1,822 yuan dan 4,370 baht), sebuah komputer riba jenama Asus TUF Gaming, 49 kad SIM U Mobile, modem jenama Unifi, buku catatan pekerjaan, serta sebuah kereta berserta alat kawalan jauh.

Kumar berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut mempunyai rangkaian di Laos dan Thailand serta aktif merekrut pekerja tempatan, termasuk yang masih di bawah umur, untuk bekerja sebagai ‘scammer’ dengan tawaran gaji antara RM2,200 hingga RM4,000 sebulan.

“Mereka turut dijanjikan peluang bekerja di luar negara dengan gaji mencecah AS$2,500 (RM10,637.50).

Artikel Berkaitan:

“Dua remaja mangsa didera, dipukul, dibogelkan, dipaksa makan cili serta mengalami penderaan seksual. Kesemua perlakuan ini dirakam untuk tujuan ugutan.

“Kedua-dua remaja yang tidak lagi bersekolah itu turut diugut supaya membayar RM30,000 jika mahu berhenti kerja dan dirancang untuk dihantar ke Van Pak Len, Laos,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5, 10 dan 15(f) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, serta Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Suspek juga didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!