Fahmi, kerajaan gagal batal saman RM1 bilion isu perjanjian Menara KL

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menolak permohonan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman RM1 bilion oleh Hydroshoppe Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menolak permohonan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman RM1 bilion oleh Hydroshoppe Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman ganti rugi RM1 billion oleh Hydroshoppe Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB).

Ia berhubung penamatan perjanjian pengendalian bangunan mercu tanda itu tiga tahun lalu.

Hakim, Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat isu-isu yang perlu dibicarakan dalam perbicaraan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tiga syarikat itu membatalkan saman yang sama.

Tiga syarikat terbabit ialah LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.

Semasa membaca keputusan penghakiman, Hakim ini berkata, terdapat isu yang wajar dibicarakan dalam kes itu terutamanya perjanjian yang dipertikaikan.

Menurutnya, Hydroshoppe selaku plaintif pertama dan MKLSB (plaintif kedua) gagal mengemukakan butir-butir yang mencukupi berhubung dakwaan ketiga-tiga syarikat melanggar sebarang kewajipan berkaitan amanah yang diberikan.

Katanya, tuduhan serius seperti ketidakjujuran memerlukan pengakuan dan fakta konkrit, bukannya kesimpulan atau dakwaan undang-undang semata-mata.

“Berdasarkan pernyataan tuntutan plaintif juga, tidak menyatakan secara khusus tuduhan itu terhadap syarikat terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Jadi tuntutan terhadap tiga syarikat tidak dapat dipertahankan,” katanya yang memerintahkan plaintif membayar kos berjumlah RM20,000 kepada ketiga-tiga syarikat itu selaku defendan ketiga hingga kelima.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 November ini untuk pengurusan kes.

Dalam pada itu, mahkamah menolak permohonan dua plaintif untuk meminda pernyataan tuntutan terhadap Fahmi dan kerajaan.

Pada prosiding ini, peguam, Vinayak Sri Ram mewakili Hydroshoppe dan MKLSB sementara Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pihak Kementerian Komunikasi dan kerajaan.

LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master pula diwakili peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar.

Pada 27 Mac lalu, Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman terhadap lima pihak iaitu Fahmi (defendan pertama), kerajaan (defendan kedua) dan tiga defendan lain iaitu LSH Service Master, LSH Best Builders serta Service Master (M).

Dua plaintif itu menuntut ganti rugi RM1 billion berhubung penamatan perjanjian konsesi Menara KL.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa sebelum ini Hydroshoppe dilantik oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk mengendalikan menara berkenaan.

Bagaimanapun dakwanya, kerajaan menamatkan perjanjian tersebut secara salah dan memberikan pengurusan itu kepada LSH Service Master pada November 2022.

LSH Service Master merupakan syarikat usaha sama antara LSH Best Builders dan Service Master (M).

Susulan itu, mereka memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan perjanjian yang dimeterai dengan kerajaan pada 2022, masih sah dan mengikat selain berhak mendapat konsesi menara selama 30 tahun bermula 31 Disember 2022.

Pada 31 Mei lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan MKLSB dan Hydroshoppe untuk mendapatkan injunksi ad interim untuk menghentikan penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!