Malaysia berhak tolak Nick Adams sebagai Duta Besar AS - KJ

SHAH ALAM - Malaysia mempunyai kuasa penuh untuk menolak pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke negara ini, kata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO itu, tindakan berkenaan selaras dengan Artikel 4 Konvensyen Vienna yang memperuntukkan hak kepada negara penerima untuk tidak menerima calon duta tanpa perlu memberikan sebarang alasan rasmi.
“Kini terpulang kepada Wisma Putra,” katanya ringkas menerusi satu hantaran di Instagram pada Ahad.
Artikel 4 Konvensyen Vienna menyebut bahawa sesebuah negara tidak boleh menghantar wakil diplomatik tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan negara tuan rumah.
Khairy turut menyatakan sokongan terhadap gesaan orang ramai agar kerajaan menolak pencalonan Adams yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump pada 11 Julai lalu.
Adams, 40, yang berketurunan Australia-Amerika, merupakan seorang pempengaruh media sosial, penulis, dan individu yang menggelarkan dirinya sebagai “Alpha Male”.
Nama beliau dicalonkan Trump untuk menggantikan Edgard Kagan, diplomat yang dilantik semasa era pentadbiran Joe Biden pada Mei 2023.
Namun, watak dan latar belakang Adams mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila rekod lalu menunjukkan beliau pernah membuat kenyataan bersifat Islamofobia, menyokong Zionisme dan mempromosi gaya hidup berdasarkan stereotaip maskuliniti keterlaluan.
Khairy turut memuat naik satu hantaran lama oleh Adams, yang mendakwa dirinya berjaya menyebabkan seorang pelayan restoran dipecat hanya kerana memakai lencana 'Free Palestine'.
Sekiranya pencalonan Adams diluluskan oleh Dewan Senat AS, Malaysia masih mempunyai ruang diplomatik untuk menyuarakan penolakan secara rasmi.
Bagaimanapun, beberapa pemerhati politik antarabangsa mengakui langkah sedemikian berisiko mencetuskan ketegangan hubungan dua hala, khususnya dalam konteks dasar luar agresif Trump yang sebelum ini pernah menyasarkan Malaysia dalam perang tarifnya.
Untuk rekod, minggu lalu Trump mengumumkan peningkatan tarif ke atas Malaysia daripada 24 peratus kepada 25 peratus, mencerminkan dasar perlindungan ekonomi yang lebih ketat terhadap negara-negara membangun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

