Kerani direman tujuh hari kemuka tuntutan palsu lebih RM50,000

SEREMBAN - Seorang kerani sebuah syarikat pelancongan direman tujuh hari selepas disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan bayaran kad kredit syarikat bagi tempahan hotel berjumlah kira-kira RM55,000 untuk kepentingan peribadi.
Perintah reman terhadap wanita berusia 20-an itu telah dikeluarkan Majistret, Fairuz Syuhada Amran selepas permohonan dibuat Suruhjanya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Perintah reman terhadap suspek bermula pada 16 Julai hingga 22 Julai ini.
Menurut sumber, suspek telah ditahan kira-kira jam 9.30 malam pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari Mac 2023 hingga Februari 2024.
“Suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat yang mengandungi butiran palsu bagi tempahan hotel atas urusan rasmi syarikat untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

