Covid-19: 11 lagi kes baharu dikesan di Sabah

 Kelihatan seorang pekerja sebuah pasaraya di Tawau sedang memeriksa bacaan suhu kepada setiap pelanggan di pintu masuk- fotoBERNAMA
Kelihatan seorang pekerja sebuah pasaraya di Tawau sedang memeriksa bacaan suhu kepada setiap pelanggan di pintu masuk- fotoBERNAMA
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 11 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kes itu di negeri ini meningkat kepada 26.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan terus mempergiatkan usaha menyiasat dan mengesan kontak secara aktif.

“Pihak JKNS memohon agar orang ramai memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Pejabat Kesihatan.

"Pihak JKNS juga telah menerima beberapa aduan mengenai sikap tidak menyenangkan segelintir masyarakat terhadap mereka yang disyaki atau disahkan positif Covid-19.

“Pihak JKNS berharap perkara sedemikian dihentikan serta-merta kerana ini mungkin menyebabkan mereka yang ada gejala tidak datang untuk menjalani pemeriksaan dan ini akan menyukarkan lagi aktiviti-aktiviti kawalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata JKNS juga telah melakukan beberapa perubahan kepada operasi hospital untuk menangani wabak Covid-19 di negeri Sabah.

“Antara perubahan itu ialah pembukaan Pusat Saringan Demam di semua hospital telah dimulakan sejak beberapa hari yang lalu. Mereka yang mempunyai gejala/tanda dan sejarah perjalanan ke negara yang mengalami wabak Covid-19 akan diperiksa.

“Pembukaan Wad Covid-19 di enam hospital berpakar iaitu Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata selain itu, penundaan Pembedahan Elektif di hospital berpakar bagi mengurangkan kemasukan pesakit dan mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Oleh itu, pihak hospital berharap semua pesakit yang terlibat memahami perubahan ini, namun pembedahan berbentuk kecemasan masih diteruskan.

"Pihak hospital juga mengehadkan pelawat ke hospital bagi mengelakkan penularan jangkitan di hospital,” tambahnya. - Bernama