'Bersihkan atau premis akan dilelong'- Arul Kumar

SEREMBAN – Pemilik bangunan komersial atau kediaman yang didapati membiarkan premis mereka dalam keadaan tidak terurus sehingga menimbulkan kacau ganggu akan berdepan tindakan tegas termasuk harta mereka boleh dilelong.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, daripada 453 notis pembersihan yang telah dikeluarkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) tahun ini, hanya 147 daripadanya telah diambil tindakan oleh pemilik premis terbabit.
“Jika di Lorong Java di sini sahaja, terdapat lebih kurang 10 lot kedai yang telah lama dibiarkan dalam keadaan semak samun, malah pemilik premis bersebelahan pernah mengadu ternampak beberapa ekor ular di situ.
“Sudah tentu ia menimbulkan isu keselamatan dan tidak adil kepada pemilik premis lain kerana mereka terpaksa berhadapan dengan masalah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon di sini pada Isnin.
Menurutnya, terdapat juga kes di kawasan Mantin di mana penduduk terpaksa menanggung masalah anai-anai yang datang daripada rumah bersebelahan yang ditinggalkan dalam keadaan terbiar oleh pemiliknya.

Sehubungan itu, katanya, pemilik diberi tempoh tujuh hari dari tarikh notis dikeluarkan untuk melakukan pembersihan dan sekiranya tiada sebarang tindakan diambil, mereka boleh berdepan tindakan tegas termasuk diheret ke mahkamah.
“Kita akan mengambil tindakan yang lebih agresif kali ini kerana telah menerima banyak aduan berhubung premis terbiar.
“Saya berharap setiap pemilik premis dapat bertanggungjawab terhadap harta mereka walaupun tidak menggunakannya,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Arul Kumar mengakui pihak MBS berdepan cabaran untuk mengenal pasti kebanyakan pemilik premis tersebut terutama yang telah terbiar lebih 50 tahun.
Ini kerana, katanya, mereka tidak mengemas kini maklumat pemilikan selain ada yang dikesan telah berhijrah ke luar negara atau meninggal dunia.
“Masalah ini bukan sahaja melibatkan premis lama tetapi juga premis baharu dan sebenarnya isu premis terbiar ini boleh menjadi tempat berlakunya jenayah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


