Perasuah termuda Indonesia dihukum penjara empat tahun

JAKARTA - Seorang wanita berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun enam bulan dan denda sebanyak 300 juta Rupiah (kira-kira RM78,607) atas pertuduhan menerima rasuah.
Nama Nur Afifah Balqis dikatakan sebagai perasuah termuda Indonesia selepas Majlis Hakim Pengadilan Negeri Tindak Pidana Korupsi (PN Tipikor) Samarinda menjatuhkan hukuman tersebut pada 26 September 2022 lalu.
Difahamkan, Nur Afifah kini ditahan dan menjalani kehidupan penjara di Lapan Perempuan Tenggarong.
Hakim menyatakan Nur Afifah terbukti terlibat melakukan rasuah bersama seorang lagi rakan politik, Abdul Gafur Mas'ud yang juga dijatuhi hukuman lima tahun enam bulan serta denda RM78,607.

Namun, kedua-duanya ditambah tempoh hukuman penjara selama empat bulan kerana gagal melunaskan denda.
Masing-masing didapati bersalah di atas pertuduhan menerima wang rasuah bagi mendapatkan keizinan menjalankan sebuah projek antara 2020 hingga 2022 bernilai sekitar RM1.4 bilion.
Gadis asal Balikpapan itu terbukti bersalah melanggar Fasal 12 (b) Undang-Undang 31 (1999) iaitu Tindak Pidana Korupsi.
Nur Afifah yang sebelum ini memegang jawatan bendahara umum DPC Parti Demokrat Balikpapan sering dilihat bersama-sama dengan ketuanya, Abdul Gafur sehinggakan kedua-duanya terlibat urusan suap-menyuap.
Ketika sesi persidangan berlangsung, Abdul Gafur terbukti sering menggunakan kad bank milik Nur Afifah untuk menerima transaksi duit rasuah.
Pemuda tersebut turut meminta Nur Afifah menguruskan wang rasuah miliknya, menjadikan gadis itu mampu hidup mewah tidak seperti rakan seusianya yang lain.
Dia juga pernah memuat naik sekeping gambar bersama Abdul Gafur di hadapan kereta jenis BMW pada Disember 2021, menguatkan lagi spekulasi bahawa kedua-duanya kaya atas alasan menerima rasuah. - AGENSI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

