[VIDEO] Tragedi Sungai Korok: 'Sebak bila lima keranda diturunkan, terfikirkan bayi enam bulan'
JERLUN – Suasana malam di pekarangan Masjid At-Taqwa di sini pada malam Isnin lalu dipenuhi rasa hiba.
Sebaik sahaja pintu van jenazah dibuka, satu persatu keranda diturunkan membawa jasad enam sekeluarga yang maut dalam tragedi di Terusan Sungai Korok Jitra.
Menceritakan kembali suasana pada malam tersebut, Setiausaha Masjid At-Taqwa, Mhd Shukri Hassan berkata, lebih 500 orang telah memenuhi masjid sejak jam 8.30 malam.
"Tiba giliran keranda bayi lelaki berusia enam bulan yang ditempatkan bersama ibunya dalam satu keranda, hati jemaah yang menyaksikan tidak dapat menahan sebak.
“Bila keranda bayi itu bersama ibunya dibawa keluar, hati terus tersentuh. Walaupun saya belum ada anak, malam itu rasa seperti anak sendiri. Naluri itu datang tanpa dipaksa,” luahnya ketika ditemui pada Jumaat.

Jelas beliau, sebahagian besar jemaah hadir secara sukarela tanpa jemputan rasmi dan kawasan parkir di sekitar masjid sesak hingga ke jalan berhampiran.
“Saya belum pernah lihat seramai ini datang untuk solat jenazah melainkan jika panggil tahfiz atau jemputan luar. Tapi malam itu, semua datang sendiri. Ini penghormatan sebenar buat jenazah,” kata Shukri.
Menurutnya, Masjid At-Taqwa mengambil tanggungjawab penuh dalam menguruskan pengebumian, termasuk menanggung kos menggali enam liang lahad berjumlah RM1,800 bagi meringankan beban keluarga mangsa.
"Kami telah menghubungi keluarga mangsa dan menjelas pihak masjid menguruskan urusan pengebumian dan mereka diberi ruang untuk menguruskan jenazah di hospital tanpa beban tambahan," katanya lagi.

Proses menggali liang lahad yang bermula jam 2 petang melibatkan 15 tenaga kerja dan selesai menjelang 8 malam.
Jenazah tiba di tanah perkuburan sekitar jam 10 malam selepas solat jenazah dan disemadikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 11.50 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, di sini.
Urusan berjalan lancar hasil kerjasama erat antara pihak masjid, badan bukan kerajaan (NGO), dan pihak berkuasa.
Pada Isnin, media melaporkan pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7; dan Tuah Haydar, 6 bulan terkorban dalam kemalangan selepas kereta mereka terjunam ke dalam sungai awal pagi Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

