Inovasi aiskrim Malaysia kembalikan nostalgia zaman kanak-kanak

Khalilah menunjukkan aiskrim montel yang diinovasikan daripada aiskrim Malaysia.
Khalilah menunjukkan aiskrim montel yang diinovasikan daripada aiskrim Malaysia.
A
A
A

SEORANG suri rumah dari Kampung Dendang Timur, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan menghasilkan aiskrim montel yang mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak suatu ketika dahulu.

Khalilah Abdullah, 39, berkata, aiskrim itu diinovasi daripada aiskrim Malaysia yang memang popular sejak berdekad lalu dan kini kembali menjadi kegemaran ramai.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) itu juga mencipta kira-kira 25 perisa aiskrim Malaysia dalam versi 'montel'.

"Aiskrim montel yang saya hasilkan kelihatan 'gebu' serta comel kerana saiznya hanya lapan sentimeter (sm) dan lebih lebar daripada aiskrim Malaysia," katanya.

Berkongsi idea untuk menjual aiskrim, kata Khalilah, nasib tidak menyebelahinya apabila banyak borang permohonan kerja yang dihantar tiada balasan positif.

"Mungkin itu sudah takdir saya supaya mencari rezeki melalui perniagaan dan bukan gaji bulanan seperti rakan lain," katanya lagi.

Ibu kepada empat anak lelaki berusia antara empat hingga 12 tahun tidak pernah berputus asa dan sentiasa memikirkan cara terbaik untuk menjana pendapatan.

Jelasnya lagi, segalanya bermula dua tahun lalu apabila adiknya meminta dia membuat aiskrim untuk sepupu yang mahu melangsungkan perkahwinan.

Artikel Berkaitan:

Khalilah mengukur panjang aiskrim montel yang hanya 8 sentimeter.
Khalilah mengukur panjang aiskrim montel yang hanya 8 sentimeter.

"Pada mulanya saya cuba membuat aiskrim bersaiz kecil daripada biasa tetapi syukur kerana ramai yang memuji lebih comel dan menarik," katanya.

Tambah Khalilah, aiskrim bersaiz kecil itu sesuai untuk kanak-kanak dan paling penting golongan yang tidak mahu menikmati makanan manis.

Khalilah bersyukur walaupun pendapatannya tidak menentu, namun sekurang-kurangnya boleh menampung perbelanjaan sendiri dan anak-anak.

"Mungkin ada yang memandang remeh dan menganggap jualan aiskrim adalah biasa, tetapi kita perlu ada ilmu untuk menghasilkan setiap perisanya supaya rasanya tidak pelik atau muak," katanya.

Khalilah bertuah kerana suaminya, Mohamad Nur Aman Mustapha, 41, menyokong usahanya dan tidak pernah menolak untuk membantu jika ada tempahan.

"Aiskrim mempunyai peminatnya yang tersendiri dan selalu menjadi pilihan terutama pada musim panas," katanya.

Mengakui bukan seorang individu yang suka 'meneroka' media sosial, namun Khalilah bersyukur kerana usahanya berbaloi dan sudah mula mendapat tempahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!